LAHAD DATU — Seorang budak perempuan berusia dua tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabit nahas dengan sebuah lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, di sini.
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian disebabkan kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang semalam itu.
Motosikal ditunggang bapanya berusia 47 tahun turut membawa abang mangsa berusia tiga tahun dan ibu mereka berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum nahas berkenaan, motosikal dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.
Katanya, sebaik memasuki bulatan jalan, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang jalan di sebelah kiri.
“Akibat jarak terlalu dekat, bapa mangsa gagal mengelak lalu terus merempuh tayar hadapan lori berkenaan. Susulan itu, mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga tercampak dari motosikal ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bapa, ibu dan abang mangsa mengalami kecederaan lalu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.
“Sampel darah pemandu dan penunggang motosikal sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol serta dadah. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dzulbaharin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan menghubungi Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881225 untuk membantu siasatan.
BH ONLINE