BESUT – Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam parit di sebuah taman di Kampung Renek, di sini, malam tadi.
Difahamkan semalam keluarga mereka mengadakan majlis sambutan hari lahir sebelum mangsa, Ibrahim Adham Muhammad tiba-tiba disedari hilang tiada dalam rumah kira-kira jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, mengesahkan bapa mangsa datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, katanya mangsa dijumpai dalam parit berkenaan dan didapati sudah meninggal dunia dipercayai tergelincir.
“Salah seorang penduduk yang mencari mangsa di kawasan parit ternampak mayat mangsa terapung dalam air sebelum mengangkat kanak-kanak itu ke tepi parit.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat,” katanya.
Abdul Rozak berkata, maklumat keluarga memaklumkan mangsa yang juga anak kedua daripada tiga beradik tidak pernah bermain di kawasan kejadian yang terletak kira-kira 20 meter di belakang rumah datuknya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
BH ONLINE