SUNGAI SIPUT — Mayat seorang budak perempuan berusia 10 tahun ditemukan dalam kawasan berpaya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini selepas dilaporkan hilang sejak semalaman.
Anak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, yang juga murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, dijumpai dalam keadaan terbaring jam 4.20 petang semalam (Sabtu) selepas dilapor hilang ketika bermain di kawasan sekitar perkampungan itu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata maklumat kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kira-kira jam 1.20 pagi Sabtu selepas dikatakan tidak pulang sejak petang Jumaat.
Katanya, susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejak pagi semalam (Sabtu) termasuk dengan menggunakan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan dari beberapa agensi serta penduduk setempat.
“Pencarian mangsa yang dimulakan pagi semalam dibuat dalam radius sekitar 2 kilometer sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang turut mengikuti operasi pencarian sekitar 4.20 petang.
“Mangsa dijumpai terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, pasukan perubatan yang tiba kemudiannya mengesahkan kematian mangsa, sekitar jam 7 petang sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput bagi menjalani proses bedah siasat.
Ditanya sama ada insiden ke atas mangsa berpunca daripada binatang buas, Mohd Khaizam berkata, setakat kini pemerhatian secara mata kasar ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati tiada kesan yang menunjukkan sebagai mana andaian itu.
“Tiada kesan (binatang buas) berdasarkan pemerhatian mata kasar. Bagaimanapun bedah siasat yang dijadualkan di Hospital Sungai Siput hari ini, dengan bantuan pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
“Jadi buat sementara ini kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil keputusan bedah siasat,” katanya.
Mohd Khaizam berkata, berdasarkan maklumat diterima, sebelum didapati hilang mangsa dikatakan menuju ke kedai seorang diri kira-kira jam 3 petang pada hari kehilangannya bagi membeli ayam sebelum kembali pulang ke rumah.
“Mangsa dikatakan pulang tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai, sebelum bapa saudara mangsa kemudiannya ke kedai lain bagi membeli ayam sementara mangsa ditinggalkan bermain di taman permainan berhampiran kawasan itu.
“Mangsa dikatakan hilang sejak dari itu,” katanya.
BH ONLINE