MUAR — Bapa dua anak yang mengambil kesempatan mencabul anak saudara yang juga orang kelainan upaya (OKU) atas motosikal ketika mengambilnya di sekolah di Segamat, dipenjara lima tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Dia bekerja sendiri berusia 30 tahun didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor selepas pertuduhan dibaca jurubahasa terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak saudaranya berusia 14 tahun antara jam 2 hingga 3.30 petang, sejak September hingga 3 Oktober lalu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 6 Oktober lalu selepas memaklumkan anaknya menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh bapa saudaranya.
Siasatan dijalankan mendapati kejadian itu berlaku atas motosikal ketika tertuduh mengambil mangsa yang juga OKU pembelajaran di sebuah sekolah menengah.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, tertuduh didakwa mengambil kesempatan terhadap mangsa.
Namun, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menangis serta memberontak kerana enggan ke sekolah walaupun beberapa kali dipaksa ibunya.
Ibunya kemudian bertanyakan perkara sebenar sebelum mangsa menceritakan kejadian berlaku ke atasnya sepanjang membonceng motosikal bersama bapa saudaranya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan tiga kali terhadap tertuduh yang berkuatkuasa dari tarikh ditahan, 6 Oktober lalu.
Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling serta pengawasan polis sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.
BH ONLINE