Category: MALAYSIA

  • Dua jurujual maut kemalangan

    MARANG — Dua jurujual maut selepas kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang dinaiki dua lagi rakan mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, dekat Pasir Putih, petang tadi.

    Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang, mangsa yang maut dikenali Ahmad Farid Izwan Mohd, 24, dari Durian Guling, Kuala Terengganu dan Muhammad Amir Ikmal Hashim, 20, dari Perumahan Dato Shah Bandar, Pekan Pahang.

    Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, ketika kejadian kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala Ke Kuala Terengganu.

    Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai terlanggar lopak air lalu terbabas ke kiri jalan.

    “Kenderaan terbabit kemudiannya terlanggar pokok di situ dan kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan lengan disahkan meninggal di tempat kejadian.

    “Dua rakan mangsa yang cedera dihantar Ke Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

    Mohd Sofian berkata, mayat kedua-dua mangsa pula dibawa ke Balik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    BH ONLINE


  • Lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal di MRR2

    KUALA LUMPUR — Tiga individu, termasuk seorang wanita, cedera ringan selepas sebuah lori lima tan melanggar 11 kereta dan sebuah motosikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini, hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.09 petang tadi.

    Beliau berkata, kesemua mangsa yang merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 43 hingga 65 tahun itu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.

    “Tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera bomba.

    “Operasi menyelamat dan pembersihan dilaporkan selesai pada jam 4.43 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Remaja hilang ketika mandi sungai, ditemui lemas

    SEGAMAT — Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di Sungai Jeram Badoh, Kampung Mensudut Lama, Batu Anam Jumaat lalu, ditemui meninggal dunia tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mayat mangsa, Muhammad Idham Abd Kadir, 14 tahun itu ditemui pada jam 12.05 tengah hari.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga disambung kira-kira jam 7 pagi tadi.

    “Pada jam 12.05 tengah hari, pasukan SAR polis Segamat bersama Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Bandar Segamat berjaya menjumpai mayat remaja lelaki itu yang masih berpakaian seluar trek gelap tanpa baju.

    “Mayat ditemui tersangkut di akar-akar kayu di dalam sungai kira-kira 450 meter dari lokasi terakhir dilihat.

    “Waris mangsa yang berada di lokasi kejadian membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Daerah Segamat (HDS) bagi tujuan bedah siasat serta tindakan lanjut siasatan,” katanya ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Sungai Jeram Badoh, di sini, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait dan Ketua BBP Bandar Segamat Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abd Razak.

    Dengan penemuan itu, operasi SAR orang hilang di lokasi berkenaan ditamatkan pada jam 2 petang.

    Kelmarin, Ahmad Zamry dalam satu kenyataan mengesahkan ada menerima makluman mengenai kejadian remaja lelaki, 14 tahun itu yang hilang di Sungai Jeram Badoh pada jam 4.20 petang.

    Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat adalah ketika mandi di Sungai Jeram Badoh bersama 19 rakannya.

    “Saksi memberitahu mangsa dihanyutkan arus di tengah sungai dan tidak melihat kelibatnya di kawasan sekitar sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk setempat,” katanya.

    Bertindak atas maklumat itu, Ahmad Zamry berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Segamat, Batu Anam dan Buloh Kasap digerakkan ke lokasi untuk melakukan pencarian dan PKTK dibuka pada jam 5.30 petang di tebing Sungai Jeram Badoh, Kampung Mensudut Lama.

    Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Operasi SAR terdiri daripada pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Segamat, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Ketua Kampung bersama penduduk.

    BH ONLINE


  • Pemandu maut lori tangki simen langgar 2 kenderaan, rempuh halaman rumah

    PARIT — Seorang lelaki maut apabila lori tangki simen dipandunya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer (KM) 47 Jalan Ipoh-Lumut, dekat Titi Gantung, sebelum merempuh halaman sebuah rumah di tepi laluan itu, lewat malam tadi.

    Dalam nahas sekitar jam 11.15 malam itu, mangsa berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, berkata hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika lori tangki terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Seri Iskandar menghala ke Gelung Pepuyu.

    Setiba di lokasi kejadian, beliau berkata, lori tangki itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler membawa muatan kertas kitar semula dan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diparkir di tepi jalan.

    “Akibat perlanggaran itu, lori tangki simen berkenaan meluncur ke depan kira-kira 100 meter lalu merempuh halaman sebuah rumah di sebelah kiri jalan sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian garaj.

    “Pemandu lori itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. Hasil bedah siasat di Hospital Changkat Melintang mendapati punca kematian mangsa ialah kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kejadian berlaku ketika cuaca baik tetapi keadaan jalan basah serta tiada lampu jalan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor M Maheswaran, melalui talian 010-7005051 atau ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    BH ONLINE


  • Warga emas dikhuatiri lemas ketika keluar beli makanan

    ALOR GAJAH — Seorang warga emas dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan ketika dalam perjalanan membeli makanan awal pagi tadi.

    Mangsa, Mokhtar Othman, 61 yang juga pengurus kilang, dikatakan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya di Machap, dekat sini kira-kira jam 1.50 pagi.

    Difahamkan, mangsa menetap di Shah Alam, Selangor dan pulang ke Machap untuk menghadiri kenduri.

    Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.39 pagi dan memaklumkan terdapat seorang lelaki terperangkap dalam tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera, di sini.

    Susulan itu, beliau berkata, dua jentera bomba masing-masing dari BBP Alor Gajah dan Ayer Keroh bersama 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian namun mangsa tiada sejurus pintu tandas dibuka pasukan penyelamat.

    “Kami hanya menemui kenderaan mangsa di lokasi berkenaan selain sepasang selipar di tebing sungai, dipercayai milik lelaki berkenaan.

    “Sementara hasil rakaman ‘dashcam’ daripada kereta mangsa mendapati dia hanya mundar-mandir dan tidak masuk ke dalam tandas kerana berkunci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Serentak itu, beliau berkata, bomba mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan permukaan dan di dalam air bagi mengesan mangsa.

    “Usaha pencarian masih diteruskan selain unit anjing pengesan juga sudah dihubungi bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.

    Sementara itu, anak saudara mangsa dikenali sebagai Abdul Haafith, 25, berkata, sebelum kejadian bapa saudaranya itu ada mengadu tidak sihat kerana mengalami cirit birit dan sakit kepala.

    “Selepas masih tidak pulang ke rumah, isterinya menghubungi saya kira-kira jam 4.50 pagi untuk bersama-sama keluar mencarinya di kedai mamak dan juga hospital namun kami tidak menjumpainya.

    “Mungkin ketika dalam perjalanan ke kedai membeli makanan, pak cik tiba-tiba sakit perut dan berhenti untuk ke tandas tetapi berkunci.

    “Saya memohon orang ramai untuk sama-sama berdoa supaya bapa saudara saya segera ditemui,” katanya.

    BH ONLINE


  • Calon SPM hadapi 63 tuduhan amang seksual

    BATU PAHAT — Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah di Sri Gading, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 63 pertuduhan amang seksual bukan fizikal termasuk memiliki video pornografi kanak-kanak.

    Tertuduh berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh kepada tertuduh.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa di daerah ini, Kluang dan Tangkak.

    Semua kejadian didakwa berlaku antara jam 10 pagi hingga 11 malam, bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu, membabitkan mangsa lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

    Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba pada jam 2.30 pagi, 11 November lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK dan boleh dipenjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan laporan, tertuduh dikatakan meminta mangsa melakukan aksi tidak senonoh dan merakamnya.

    Selepas itu, mangsa diminta menyerahkan rakaman terbabit kepada tertuduh.

    Kejadian dikatakan berulang kali dan ada mangsa didakwa mengadukan hal terbabit kepada pihak pengurusan sekolah namun tiada tindakan diambil.

    Mangsa dikatakan diugut supaya mengikut arahan tertuduh atau rakaman video mereka disebar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Shariff.

    Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

    Tertuduh dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.

    BH ONLINE


  • Wanita rugi lebih RM20,000 angkara ‘love scam’

    KUALA TERENGGANU — Seorang wanita kerugian RM20,900 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan love scam, selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi TikTok pada 5 November lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata selepas berkenalan, mangsa yang juga balu berumur 33 tahun itu pada mulanya diberikan satu pautan di Google Chat bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan lebih mudah.

    Beliau berkata, selepas beberapa hari berhubung, suspek kononnya berniat mahu memberi hadiah telefon dan wang tunai dalam bentuk dolar kepada wanita terbabit.

    “Tidak lama kemudian wanita itu menerima e-mel yang menyatakan kiriman barangan sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi dia perlu membuat bayaran kepada syarikat kurier untuk mendapatkan barangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azli berkata, wanita itu membuat 14 kali pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza seperti diarahkan, dengan menggunakan wang simpanan sendiri dan arwah suaminya, namun dia tetap tidak menerima barangan berkenaan, sebaliknya terus diminta membuat pembayaran lagi atas pelbagai alasan.

    “Selepas menyedari tertipu, wanita itu membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Lelaki maut, adik melecur dalam kebakaran rumah pagi tadi

    SANDAKAN — Seorang lelaki maut, manakala adiknya melecur selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting, di sini, pagi tadi.

    Mangsa, Jailan Jaimin, 35, yang mengalami strok ditemukan rentung oleh pasukan bomba di ruang tamu rumah berkenaan.

    Adik lelaki mangsa berusia lingkungan 20-an pula melecur di bahagian belakang badan, manakala beberapa ahli keluarga lain berjaya keluar menyelamatkan diri.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.

    Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer.

    “Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

    “Dalam kejadian itu juga, kereta Proton Saga dan Nissan sedan musnah sepenuhnya, manakala lori 10 tan pula terbakar 80 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Severinus berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran tiga pancutan dengan sumber air jentera.

    “Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa rentung ditemukan di kawasan ruang tamu rumah dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.27 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.35 pagi.

    “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

    BH ONLINE


  • Polis tahan lelaki warga asing gaduh, korek mata

    TASEK GELUGOR — Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung satu pergaduhan yang menyaksikan seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah apabila bebola mata kirinya dikorek keluar, dalam kejadian di Jalan Ara Kuda di sini semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan susulan pergaduhan pada kira-kira 2 petang.

    “Berdasarkan siasatan awal lelaki berumur 52 tahun itu dikatakan mengganggu suspek, sebelum lelaki warga asing berkenaan bertindak memukul dan mencederakan kedua-dua belah matanya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut dan keadaannya kritikal, manakala suspek yang ditahan di lokasi kejadian, kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Penoreh lemas jatuh perigi dipercayai ketika mahu ambil wuduk

    RANTAU PANJANG — Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam perigi di Kampung Tasek Bakong, di sini, dipercayai ketika mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh, pagi tadi.

    Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi menimpa Bahrom Ismail, 64, disedari anaknya yang kemudian cuba membantu dengan menghulurkan tali, tetapi gagal apabila mangsa terus tenggelam.

    Jiran, Mohd Shamsudin Pa’Sar, 50, berkata anak arwah memberitahu bapa mereka keluar untuk menoreh dan biasanya akan mengambil wuduk di telaga berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.

    Katanya, dia hanya sempat membantu dengan menghubungi talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 selepas diberitahu anak mangsa mengenai kejadian itu.

    “Saya dalam perjalanan ke kedai untuk menjual ayam segar sebelum berhenti di hadapan rumah Bahrom kerana melihat anak-anaknya dalam keresahan.

    “Salah seorang anak Bahrom memberitahu dengar suara bapanya minta tolong dan sempat menghulurkan tali, namun mangsa sudah lemah dan akhirnya tenggelam.

    “Kami tidak tahu bagaimana mahu mengeluarkannya dari dalam perigi sedalam lebih lima meter itu dan meminta bantuan kecemasan. Pasukan bomba kemudian datang memberikan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.52 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik sampai di lokasi, terdapat seorang mangsa di dalam perigi sebelum anggota seramai enam orang membantu mengeluarkannya. Dia disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    BH ONLINE


  • Suami isteri maut dirempuh pemandu mabuk di lampu isyarat

    PASIR GUDANG — Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta yang disyaki dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada jam 4 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario yang dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.

    Katanya kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

    “Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat lampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan tanpa berhenti walaupun lampu isyarat masih merah, menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

    “Pada masa sama, motosikal menunggang pasangan sedang meneruskan perjalanan menghala ke bandar Pasir Gudang, menyebabkan pelanggaran.

    “Akibat pelanggaran itu, penunggang iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dan pembonceng, wanita berusia 35 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Mohd Sohaimi, pemandu kereta berkenaan, lelaki berusia 34 tahun, ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.

    “Ujian air kencing juga dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah. Siasatan masih lagi diteruskan,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.

    BH ONLINE


  • Ugut bunuh jiran kerana letak kereta, kerani pentadbiran ditahan

    AMPANG JAYA — Seorang kerani pentadbiran sebuah syarikat swasta ditahan selepas didapati mengugut untuk membunuh dan mencederakan jirannya di kediaman mereka di Taman Ampang Hilir, Pandan Indah, di sini.

    Dalam kejadian jam 8.40 malam pada 8 November lalu itu berlaku pertengkaran mulut antara pengadu yang juga pasangan suami isteri dan suspek berusia 32 tahun yang melakukan ugutan bersama isterinya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata kedua-dua pasangan itu dipercayai bertengkar selepas isteri pengadu meletakkan kenderaan di hadapan kediaman suspek.

    “Ketika pertengkaran di laman kediaman, suspek masuk ke dalam rumahnya dan keluar semula dengan membawa sebilah pisau dan mengacukan kepada pengadu serta mengugut untuk mencederakan dan membunuh pengadu.

    “Susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya, dan menahan suspek lelaki tempatan pada 11 November lalu, selain turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan semasa kejadian.

    “Tangkapan mempunyai satu rekod lalu berkaitan kes dadah, manakala ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Azam berkata, suspek direman empat hari bermula 12 November hingga semalam dan didakwa di Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Suspek mengaku salah dan dikenakan hukuman denda RM3,500,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan ugutan jenayah.

    BH ONLINE


  • Bomba potong dua cincin tersekat pada kemaluan lelaki

    SUNGAI PETANI — Khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi memotong dua cincin yang tersangkut pada alat sulit seorang lelaki yang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 2.12 petang.

    Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Aman Jaya tiba di lokasi tidak lama kemudian.

    “Sejurus tiba, pihak hospital memaklumkan seorang mangsa lelaki dewasa berusia 38 tahun mengalami masalah apabila dua cincin tersangkut pada kemaluannya.

    “Tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah menggunakan alat khas pemotong cincin untuk memotong sehingga selesai sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Azahari berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih serius.

    “Bagaimanapun, lelaki itu mengalami luka di bahagian alat sulit dan menerima rawatan lanjut di hospital.

    “Operasi tamat jam 3.10 petang,” katanya.

    BH ONLINE


  • Kanak-kanak 8 tahun dikhuatiri lemas terjatuh ke dalam longkang besar

    JOHOR BAHRU — Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya di kawasan Bandar Baru Uda, Tampoi di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita mengenai kejadian itu kira-kira 3.51 petang.

    Beliau berkata ketika kejadian, mangsa bersama-sama dua lagi rakan lelaki berusia tujuh dan lapan tahun sedang bermain air di tepi longkang berhampiran lokasi berkenaan.

    “Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tergelincir ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ke arah longkang besar berhampiran sebuah pasar raya.

    “Susulan itu, kita telah membuka pos kawalan tempat kejadian (PKTK) di lokasi kejadian dan kini giat menjalankan operasi pencarian dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Balveer Singh berkata operasi itu meliputi kawasan di sekitar lokasi kejadian sehingga ke sungai berdekatan dan kes disiasat di bawah kertas enkuiri polis-orang hilang (KEP-OH).

    “Pada masa sama, kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Helmy Halim di talian 012-5759953.

    Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I KUP Nordatul Badrol Abd Rahman dalam kenyataan berasingan memaklumkan paras air ketika mangsa hilang adalah sedalam lapan kaki dan cuaca hujan.

    Beliau berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membuat pencarian dengan kaedah ‘search surface’ daripada tempat bermulanya mangsa dipercayai tergelincir sehingga ke Sungai Skudai, Kampung Usaha Jaya.

    “Sementara itu, tindakan pencarian kedua adalah dengan bantuan bot penduduk kampung untuk mencari di kawasan muara berdekatan perangkap sampah,” katanya.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Terjerat cinta ‘kekasih Korea’, wanita rugi lebih RM80,000

    SIBU — Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an kerugian RM86,841 selepas menjadi mangsa penipuan cinta lelaki warga Korea yang dikenali menerusi aplikasi “Tinder” pada Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asistan Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata dalam laporan polis pada Khamis, pekerja swasta berkenaan memaklumkan pada 19 Jun lalu suspek telah berjanji akan bertemu dengannya selepas permohonan visa suspek diluluskan.

    “Pada awal Julai lalu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia telah membuat beberapa penghantaran barang kepada mangsa namun barang berkenaan ditahan pihak kastam Indonesia sebelum transit ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkipli berkata selepas berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai kastam pada 25 Julai, mangsa diminta untuk membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan sijil pelepasan supaya barangan berkenaan dihantar ke Malaysia.

    Mangsa membuat 25 transaksi pindahan wang ke lapan akaun tempatan berjumlah RM86,841 sebelum berasa ragu-ragu dan menyedari dirinya ditipu apabila masih diminta untuk membuat pelbagai pembayaran. Suspek juga tidak dapat dihubungi mangsa selepas itu.

    “Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Mayat wanita ditemukan terapung di Taiping

    IPOH — Mayat seorang wanita ditemukan terapung di lombong Tekah Permai, Taiping, dekat sini hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.13 pagi hasil maklumat polis.

    “Mangsa adalah seorang wanita dewasa namun identitinya masih tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping mengambil masa 15 minit untuk menarik mayat mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Penyamun mati dalam rumah mangsa, 2 rakan ditahan

    KLUANG — Seorang suspek pecah rumah ditemui mati, manakala dua lagi rakan sejenayah ditahan polis di sebuah rumah dekat Jalan Laksamana Sunrise Park di sini malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin, berkata dalam kejadian jam 7.12 malam itu, suspek yang mati ditemui dengan kesan kecederaan pada tangan kanannya dan punca kematiannya itu sedang disiasat.

    “Si mati didapati cedera pada salur darah utama kerana banyak kesan darah dijumpai di lokasi. Punca kecederaan itu masih dalam siasatan, sama ada akibat terkena pagar besi rumah atau objek lain ketika pecah masuk rumah atau hendak melarikan diri apabila menyedari penduduk setempat dan polis sampai.

    “Sebelum itu, si mati bersama tiga lagi suspek yang berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun memecah masuk sebuah rumah dan polis menerima panggilan memaklumkan hal itu dari orang awam.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai polis yang tiba di lokasi berjaya menahan dua suspek dan menemui si mati yang telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Nik Mohd Azmi berkata, susulan kejadian itu juga, polis kini giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Mohamad Sahli Talib, 39, dengan alamat terakhir di Kampung Belukar Gunong Bachok Kelantan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Katanya, bedah siasat terhadap mayat sedang dibuat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan jenis objek yang menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematiannya.

    “Ketika ini siasatan mengikut kes mati mengejut,” katanya sambil memaklumkan bahawa semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.

    “Saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang ditangkap didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    BH ONLINE


  • Tragedi berakit: 3 lemas disahkan kakitangan JKR

    KAMPAR — Identiti tiga mangsa lemas semasa melakukan aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng, petang tadi dikenalpasti sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Dua mangsa lelaki ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang bertugas di JKR Langkawi, manakala mangsa wanita iaitu Suhaili Mat Saad, 47, berkhidmat di JKR Seberang Perai Tengah.

    Identiti ketiga-tiga mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi malam ini.

    Beliau berkata, mangsa wanita berasal dari Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

    “Mohamad Khairul Hakim berasal dari Ayer Hangat, Langkawi manakala Muhammad Ikram berasal dari Taman Permata, Jitra, Kedah,” katanya.

    Berdasarkan tinjauan di Hospital Kampar, mayat ketiga-tiga mangsa tiba di Unit Forensik sekitar jam 9.55 malam dengan dibawa kenderaan polis.

    Terdahulu, dilaporkan mangsa adalah antara 22 peserta yang menyertai aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng sempena program ‘Team Building’ yang diiringi enam pemandu pelancong.

    Difahamkan, kesemua peserta turun ke kawasan sungai bermula jam 3.30 petang yang mana jarak perjalanan ‘rafting’ adalah enam kilometer (km) menyusuri sungai.

    Dikatakan, mangsa dihanyutkan arus di selepas empat km perjalanan menyusuri sungai.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dipetik berkata, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.56 petang.

    Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, tiga mangsa terbabit sudah dinaikkan orang awam ke tebing sungai dan disahkan meninggal dunia.

    BH ONLINE


  • Disangka hilang, rupanya mayat dalam semak

    HULU SELANGOR — Seorang polis bantuan di sebuah agensi yang disangka hilang ditemui meninggal dunia dalam kawasan semak di lereng bukit di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Lembah Beringin hari ini.

    Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui pada jarak kira-kira 300 meter dari motosikalnya, jam 7.50 pagi tadi.

    Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata polis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 6.02 pagi.

    “Siasatan awal mendapati pada jam 11.30 malam tadi, sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa.

    “Kereta itu kemudian terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke lereng bukit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala kenderaan yang terbabit nahas ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

    BH ONLINE


  • Budak 2 tahun maut, motosikal dinaiki bersama 3 ahli keluarga rempuh lori keluar simpang

    LAHAD DATU — Seorang budak perempuan berusia dua tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabit nahas dengan sebuah lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, di sini.

    Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian disebabkan kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang semalam itu.

    Motosikal ditunggang bapanya berusia 47 tahun turut membawa abang mangsa berusia tiga tahun dan ibu mereka berusia 29 tahun.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum nahas berkenaan, motosikal dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

    Katanya, sebaik memasuki bulatan jalan, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang jalan di sebelah kiri.

    “Akibat jarak terlalu dekat, bapa mangsa gagal mengelak lalu terus merempuh tayar hadapan lori berkenaan. Susulan itu, mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga tercampak dari motosikal ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, bapa, ibu dan abang mangsa mengalami kecederaan lalu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

    “Sampel darah pemandu dan penunggang motosikal sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol serta dadah. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Dzulbaharin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan menghubungi Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881225 untuk membantu siasatan.

    BH ONLINE