Category: MALAYSIA

  • Mufti Perlis saman pengguna Facebook berhubung isu GISBH

    KUALA LUMPUR — Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memfailkan saman terhadap seorang pengguna laman sosial, Facebook kerana mendakwa lelaki itu memfitnahnya berhubung isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

    Saman fitnah itu difailkan Mohd Asri selaku plaintif pada 10 Oktober lalu dengan menamakan Mohd Nawawi Abd Razak sebagai defendan, dan menuntutnya membayar ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM10 juta serta menerbitkan pernyataan maaf di dalam akhbar tempatan.

    Melalui pernyataan tuntutan beliau, Mohd Asri berkata pada 20 September lalu, Mohd Nawawi menerbitkan beberapa pernyataan fitnah melalui akaun Facebook milik defendan yang dibuat secara komen di bawah satu hantaran Facebook oleh akaun Facebook dikenali sebagai Kayrollz Nasri.

    Komen berkenaan adalah berhubung isu fatwa kesesatan GISBH oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

    Mohd Asri berkata, pernyataan fitnah itu merujuk dengan jelas kepadanya dan berkaitan dirinya yang bermaksud serta difahami bahawa beliau antaranya mempunyai hubungan akrab dengan GISBH dan menerima ganjaran wang daripada organisasi itu.

    Mohd Asri berkata, pernyataan itu juga bermaksud beliau pernah mempunyai hubungan rapat dengan GISBH, seorang pengkhianat dan fatwa negeri Perlis berkaitan isu GISBH dibuat atas motif peribadi dan dendam peribadinya.

    Plaintif berkata, defendan selanjutnya menerbitkan, menyiarkan, mendedahkan danmengedarkan pernyataan fitnah kedua terhadapnya di dalam bentuk komen di bawah hantaran sama.

    “Defendan menerbitkan pernyataan fitnah itu meskipun mempunyai pengetahuan bahawa ia adalah dusta, palsu, tidak berasas, tidak benar sama sekali dan ia dakwaan melulu tanpa mengambil kira kebenarannya dan tanpa usul periksa.

    “Ia diterbitkan dengan niat untuk menghina, merendahkan, memalukan dan mendedahkan saya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan yang membuat orang ramai menjauhi saya.

    “Defendan menerbitkan pernyataan fitnah itu dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif oleh masyarakat umum ke atas saya.

    Defendan dengan sengaja merujuk secara khusus kepada saya dengan menggunakan nama dan gambar saya,” katanya.

    Mohd Asri berkata, tindakan defendan mengaitkan dirinya secara khusus kepada GISBH yang mana diketahui umum mempunyai kepercayaan dan ajaran yang mengandungi unsur sesat khususnya batiniyyah dan tidak selari dengan Islam, adalah disengajakan.

    Katanya, ia adalah untuk memberi gambaran dan pandangan kepada orang awam bahawa beliau menyokong dan terbabit dengan aktiviti dan pemahaman yang yang mengandungi unsur sesat.

    Mohd Asri juga menuntut defendan membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di beberapa akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia, akaun Facebook defendan sendiri dan mana-mana laman sosial yang dimiliki lelaki itu, selama 30 hari.

    Turut dimohon ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan dan mana-mana ejennya daripada mengulangi pernyataan berbaur fitnah itu serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    BH ONLINE


  • Kertas siasatan anggota polis ‘curi’ barang kemas si mati diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara

    KUALA LUMPUR — Kertas siasatan berkaitan empat anggota polis yang ditahan berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu, telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara, kelmarin.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

    “Kertas siasatan itu sebelum ini telah diserahkan kepada Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

    “Kesemua empat anggota polis yang ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu telah dibebaskan jaminan polis.

    “Pada masa ini mereka masih menjalankan tugas sementara siasatan masih berlangsung,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Progam Pendekatan Kesedaran Kes Jenayah Seksual dan Penipuan Dalam Talian di sini, hari ini.

    Rusdi berkata, pada masa ini pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di mahkamah.

    “Status mereka masih bertugas dan kita menunggu tindakan lanjut,” katanya.

    Pada Jumaat lalu, media melaporkan empat anggota polis ditahan untuk siasatan kes kecurian barang kemas dikatakan milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak, di sini.

    Rusdi dilaporkan berkata, tangkapan anggota polis terbabit dibuat hasil siasatan yang dijalankan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan.

    Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

    Tangkapan dilakukan terhadap anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun.

    Katanya, pihak polis juga membuat rampasan membabitkan sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram.

    Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.

    Beliau mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, dia cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.

    Katanya, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan itu.

    Pencarian di seluruh rumah sewa mangsa juga tidak menemui barang kemas, menyebabkan bapanya merujuk perkara itu kepada bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci.

    Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE


  • Pegawai SPRM didakwa salah guna wang sitaan RM613,000

    KUALA LUMPUR — Seorang Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.

    Tertuduh, Azizun Mohamad didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan berjumlah RM613,000, berkaitan dengan Op Green iaitu operasi agensi itu yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.

    Kesalahan berkenaan didakwa berlaku antara 1 Jun 2020 hingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, sebatan dan boleh juga didenda.

    SPRM dalam satu kenyataan, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab diberikan kepada suruhanjaya itu terus terpelihara.

    “Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.

    “SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” katanya.

    BH ONLINE


  • Ahli perniagaan produk kecantikan didenda miliki bahan lucah

    KLANG — Seorang ahli perniagaan produk kecantikan didenda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengakses dan menyimpan bahan lucah.

    Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Chai Kien Tung, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Kien Tung juga berdepan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dikenakan dan tertuduh membayarnya.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, lelaki berkenaan didakwa mengakses dan menyimpan dalam milikannya bahan lucah seperti video atau gambar dalam dua telefon bimbit.

    Kesalahan itu dilakukan di bilik kawalan sebuah kondominium di Kota Bayuemas kira-kira jam 12.10 tengah malam semalam dan sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

    Mengikut fakta kes, mangsa ternampak sebuah telefon bimbit dari atas sebuah bilik tandas menghala ke arah mangsa ketika sedang mandi.

    Pengadu keluar dari tandas dan berjumpa pengurusan kondominium itu bagi memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan didapati tertuduh lari keluar dari tandas berkenaan.

    Mangsa juga mengesyaki tertuduh mengambil videonya ketika mandi sebelum membuat laporan polis.

    Peguam Nur Husnina Ahmad menyatakan anak guamnya masih bujang dan bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu serta menanggung ibu bapa serta nenek yang sakit.

    Katanya, tertuduh juga berulang alik ke Sarawak atas urusan kerja dan memohon maaf serta insaf tidak akan mengulanginya.

    Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi.

    BH ONLINE


  • Pengerusi masjid direman enam hari

    CHUKAI — Seorang pengerusi masjid di sebuah daerah di negeri ini direman selama enam hari selepas disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak bagi agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.

    Suspek berusia 50an itu dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini untuk perintah tahanan reman terbabit.

    Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan reman ke atas lelaki terbabit yang selama enam hari sehingga 10 november ini.

    Sumber berkata, suspek telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman, kira-kira jam 2.45 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada April lalu dan seramai 50 penerima yang tersenarai telah menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.

    “Suspek telah menerima dana zakat tersebut daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini di mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ,” kata sumber terbabit.

    Katanya, suspek telah ditangkap bersama isterinya yang turut tersenarai antara penerima wang zakat berkenaan dan bagaimanapun isterinya itu dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan pihaknya tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

    BH ONLINE


  • Polis rampas dadah RM2.3 juta, tahan dua wanita Indonesia, tiga lelaki tempatan

    MELAKA — Polis menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia selepas menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.3 juta dalam serbuan di dua lokasi sekitar sini Jumaat lalu.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,400 dipercayai hasil jualan dadah, dan menyita dua kenderaan dalam serbuan jam 3 pagi di sebuah kondominium di Melaka Raya, dan sebuah bangunan di Jalan Merdeka di sini.

    Semua suspek berusia 21 hingga 37 tahun itu dipercayai aktif dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Melaka sejak awal tahun ini.

    “Dalam serbuan itu polis merampas 12,920 gram serbuk dipercayai ekstasi, ketamin (300 gram), pil ekstasi (1,307 biji) dan pil erimin 5 (280 biji), dan berdasarkan siasatan awal, semua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan, boleh digunakan 68,240 penagih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Ujian air kencing suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis ketamin dan benzo, namun semua mereka tiada rekod jenayah lampau.

    Zainol berkata semua suspek direman sehingga 7 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    BH ONLINE


  • Kereta langgar pembahagi tol, 2 warga emas maut

    SERDANG — Dua lelaki warga emas maut apabila kereta dinaiki mereka melanggar pembahagi di Plaza Tol Sungai Besi, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Seremban, di sini, awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 3.42 pagi.

    Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi.

    “Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda CRV di mana dua lelaki berusia 65 tahun tersepit di bahagian hadapan.

    “Kerja-kerja mengeluarkan mangsa berjaya dilakukan anggota bomba, dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE


  • Rakyat Malaysia sertai perang Ukraine-Russia dipercayai masih hidup – KPN

    KUALA LUMPUR — Seorang lelaki tempatan yang didakwa menyertai perang antara Ukraine dan Russia, dipercayai masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.

    Berdasarkan maklumat perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki terbabit, Lee Bing Hang, 20, dan berasal dari Kedah sebelum ini mengalami kecederaan selepas terkena serpihan dron tentera Russia, pada pertengahan Oktober lalu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata risikan yang dijalankan juga mendapati Bing Hang memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang dengan tentera Russia.

    “Berdasarkan risikan kita mendapati Bing Hang menyertai peperangan di Ukraine kerana minatnya dalam ketenteraan dan tawaran gaji menarik antara AS$400 hingga AS$2,700 (RM11,807) sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang.

    “Selain itu tekanan daripada pihak keluarga turut dipercayai adalah faktor penyebab Bing Hang sanggup menjauhkan diri daripada keluarganya sehingga mencari pekerjaan di luar negara,” katanya kepada BH hari ini.

    Razarudin berkata, semasa serangan dron Russia, lelaki itu dilaporkan cuba lari menyelamatkan diri namun kad pengenalan dan lesen memandunya tercicir manakala pasportnya masih berada bersama dengannya.

    “Bing Hang menamatkan pengajiannya di peringkat A Level di sebuah kolej di Petaling Jaya, dikesan tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak berminat dengan aktiviti sosial.

    “Sebaliknya dia lebih memberi tumpuan kepada aktiviti permainan dalam talian berbentuk peperangan dan amat berminat menjadi tentera,” katanya.

    Jumaat lalu, media tempatan melaporkan bahawa polis masih menunggu maklum balas pihak Kedutaan Rusia mengenai dakwaan seorang rakyat Malaysia yang menjadi tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Russia.

    Terdahulu tular penemuan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.

    Ada dakwaan di media sosial menyatakan kad berkenaan adalah milik rakyat Malaysia yang tidak dapat dipastikan statusnya sama ada terbunuh atau ditahan tentera Russia.

    Dua dokumen diri yang masih sah itu ditemui selepas tentera Russia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.

    BH ONLINE


  • Remaja lelaki maut ketika melintas jalan

    ALOR GAJAH — Seorang remaja lelaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Lendu Dalam, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Ashari Abu Samah, berkata mangsa, Radzin Muslimin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dalam kejadian kira-kira 7.15 malam itu.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika pemandu berumur 29 tahun dalam perjalanan dari arah Lendu menghala ke Rembia dan ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati melintas secara tiba-tiba dan pemandu terbabit tidak sempat memberhentikan keretanya.

    “Terdapat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh daripada kenderaan terlibat yang menunjukkan bagaimana kemalangan itu berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Ashari berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • 5 pemancing, 3 kru ditemui selamat selepas dua hari bot hanyut

    KUCHING — Lima pemancing dan tiga kru ditemukan selamat selepas bot mereka

    dilaporkan hilang di perairan Kuching sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata bot berjaya dikesan tengah hari tadi sebelum ditunda dan tiba di jeti Semariang Batu, di sini pada jam 5.25 petang tadi.

    “Pada jam 1.45 tengah hari tadi, rakan kumpulan pemancing itu berjaya menghubungi mereka.

    “Bot pemancing itu kemudian berjaya ditemui di kedudukan 38 batu nautika di barat laut Belawai dan tiga kru serta lima pemancing semuanya selamat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Mohd Farhan berkata, laporan kehilangan bot pemancing itu pada jam 3.46 petang semalam yang dibuat oleh anak seorang pemancing.

    “Dalam laporan itu pengadu memaklumkan kumpulan pemancing itu ke laut pada jam 9 pagi, 29 Oktober lalu dengan sebuah bot pancing yang bernombor pendaftaran QKH 9848 Z dan sepatutnya balik pada petang 31 Oktober.

    “Bagaimanapun, sehingga semalam mereka tidak balik dan laporan polis dibuat sebelum SAR diaktifkan membabitkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya sambil memaklumkan pencarian dilakukan sehingga perairan Paloh di Belawai dalam Bahagian Mukah.

    Menurutnya lagi, bot berkenaan mengalami masalah enjin ketika mereka dalam perjalanan balik pada 31 Oktober menyebabkannya hanyut di laut.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33; Mohamad Haikal Sharkawi, 17; Mohd Azizi Hamzi,17; Dahlan Ramli, 41; Hasrin Ismail,53; Johari Bujang,51 dan Abdullah Ajek, 56.

    BH ONLINE


  • Wanita dihanyutkan arus deras kepala air

    KULIM — Seorang wanita dilapor dihanyutkan arus deras di Taman Eco Rimba, Sungai Sedim, di sini, hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan, berkata panggilan berhubung kejadian diterima jam 4.02 petang.

    Katanya, A Kasthuri, 41, dilaporkan dibawa arus deras yang dipercayai berpunca akibat kepala air.

    Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi Tech diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Fuad Harun bersama lima anggota dan dua anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi tidak lama kemudian.

    “Operasi digerakkan di permukaan air sekitar kawasan sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan. hari ini.

    Difahamkan, ia adalah kejadian kepala air kedua dalam tempoh kurang sebulan.

    Pada 13 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang mandi bersama beberapa rakan dihanyutkan air deras sebelum ditemui lemas kira-kira dua hari kemudian.

    BH ONLINE


  • Remaja maut terkena renjatan elektrik ketika cas telefon dalam bas

    BUTTERWORTH — Seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral di sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ketika itu menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, berkata insiden itu disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun jam 7.40 malam.

    “Hasil pemeriksaan polis terhadap tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit berpandukan keadaan penghujung kabel cair serta peranti terbabit turut berada dalam keadaan panas.

    “Temubual terhadap pemandu bas itu mendakwa mangsa menaiki bas ekspres untuk ke KL Sentral pada jam 6 petang namun 10 minit kemudian, seorang penumpang memaklumkan kepada pemandu bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.

    ” Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anuar berkata hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja lelaki itu maut akibat renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain.

    “Sehubungan itu, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    BH ONLINE


  • Bot bawa 3 kru, 5 pemancing hilang

    KUCHING — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas sebuah bot pancing dilaporkan hilang.

    Pengarah Maritim Malaysia, Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata laporan kehilangan bot berkenaan bersama tiga kru dan lima orang pemancing diterima Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching, pada jam 5 petang semalam.

    Beliau berkata, identiti kesemua pemancing bersama kru sudah dikenal pasti iaitu Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33; Mohamad Haikal Sharkawi, 17; Mohd Azizi Hamzi,17; Dahlan Ramli, 41; Hasrin Ismail,53; Johari Bujang,51 dan Abdullah Ajek, 56.

    “Mereka menaiki sebuah bot pancing yang bernombor pendaftaran QKH 9848 Z telah keluar ke laut dari Jeti Semariang Batu kira-kira 9 pagi, Khamis lalu.

    “Menurut maklumat yang diterima dari salah seorang anak mangsa, mereka sepatutnya pulang ke jeti pada Khamis (31 Oktober) pada jam 2 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, sejurus menerima laporan itu, pihaknya mengatur gerak aset iaitu Bot Pengawal 42 bersama tujuh anggota untuk melakukan operasi pencarian di lokasi dalam radius 100 batu nautika persegi.

    “Memasuki pencarian pada hari kedua, hari ini luas sektor lokasi pencarian adalah 533.80 batu nautika persegi.

    “Pesawat CN325 daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)turut membantu melakukan pemantauan dari udara,” katanya.

    BH ONLINE


  • Lelaki jatuh jambatan ditemui lemas

    KUCHING — Lelaki yang hilang selepas terjatuh dari Jambatan Tan Sri Dr Sulaiman Daud, di sini, ditemukan lemas, hari ini.

    Mayat Aliff Fadzree Azlam, 34, ditemui terapung oleh orang awam kira-kira 50 meter dari lokasi dia terjatuh pada jam 3.50 petang.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya kemudian mengambil mayat mangsa menggunakan bot penyelamat.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada polis pada jam 4 petang untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Mangsa disedari terjatuh dari jambatan berkenaan oleh isterinya kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

    Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarah ke lokasi untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan pada jam 8.52 pagi.

    Operasi pencarian turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Batu Lintang, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Unit Dron polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    BH ONLINE


  • Maut ditetak kerana buat bising

    SEGAMAT — Seorang lelaki maut dalam satu pergaduhan selepas membuat bising di hadapan sebuah kediaman dalam kejadian di Taman Sejati di sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan pergaduhan itu membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita jam 9 malam.

    “Hasil siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang berusia 30 tahun.

    “Mangsa dipercayai membuat bising di hadapan rumah suspek.

    Pergaduhan dipercayai tercetus daripada pertengkaran sebelum berakhir dengan mangsa ditetak dengan parang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Zamri berkata, siasatan mendapati mangsa meninggal dunia kerana terkena libasan dan tetakan parang suspek.

    Katanya, siasatan juga mendapati beberapa rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut mengalami beberapa kecederaan dan kini dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat.

    Beliau berkata, dalam kejadian itu kenderaan milik keluarga suspek turut dirosakkan rakan-rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek menyebabkan mangsa terbunuh.

    “Bertindak atas maklumat, pihak polis membuat tangkapan pada jam 12.30 tengah malam semalam.

    “Tangkapan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian bunuh untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, pihak polis turut menahan tiga lagi lelaki yang menyebabkan khianat dan rusuhan.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

    “Kes juga disiasat bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

    Selain itu, katanya semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek utama mempunyai tujuh rekod lampau.

    Ahmad Zamry meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi IPD Segamat di talian 07-9312222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    “Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini,” katanya.

    BH ONLINE


  • Bakal pengantin jatuh sungai ditemui lemas

    SUNGAI PETANI — Muhammad Aiman Safwan Mahadzir, 25, yang hilang selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda ditemui lemas hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata mayat mangsa ditemui terdampar di pantai pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh jam 11.50 pagi.

    “Operasi hari ini turut membabitkan enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kedah yang melakukan pencarian di permukaan air dengan jarak 1.5 hingga dua batu nautika sejak jam 10.03 minit pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, ibu mangsa Rosnah Razali, 48, berkata anak sulung dari tiga beradik itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Januari depan dan persiapan akhir sudah siap dilakukan.

    “Aiman seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan malah semua orang sayangkan kerana sifatnya yang suka tolong orang,” katanya.

    Tunang mangsa, Nur Farhana Abd Syukur, 23, berkata pada hari kejadian mereka sepatutnya pergi ke Klinik Kesihatan Taman Intan untuk menjalani saringan HIV.

    “Kali terakhir dia balas kiriman WhatsApp saya pada jam 11.30 pagi dan Aiman beritahu bersiap untuk ke sana.

    “Kira-kira jam 1 tengah hari, ibu Aiman menghubungi saya dan beritahu yang dia jatuh sungai menyebabkan saya terkejut dan bergegas ke sini,” katanya.

    Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, pada Ahad.

    Bagaimanapun keadaan ombak kuat Dan laut bergelora dan hujan lebat menyukarkan operasi pencarian menyebabkan operasi disambung semalam dan hari ini.

    BH ONLINE


  • Bekas Naib Ketua Pemuda parti politik didakwa sembilan pertuduhan amang seksual fizikal dan liwat

    KOTA TINGGI — Bekas Naib Ketua Pemuda sebuah parti politik di Mersing didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan amang seksual fizikal dan liwat terhadap enam remaja lelaki termasuk pasangan kembar, antara tahun 2017 hingga Mac lalu.

    Tertuduh, Zuraidi Mazlan, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Haida Farizal Abu Hassan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan tujuh pertuduhan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas empat remaja lelaki berusia 14, 15 dan 16 tahun dengan menyentuh bahagian badan, memeluk dan mencium pipi mangsa serta menyuruh salah seorang mangsa menghisap kemaluan tertuduh.

    Pendakwaan dilakukan di bawah seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14 (d) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

    Di Mahkamah sama, Zuraidi juga berdepan dua pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii iaitu memasukkan zakar ke dalam dubur membabitkan mangsa dua beradik kembar berusia 14 tahun, tanpa kerelaannya.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Perumahan Nelayan Kampung Penyabong, Mersing di antara awal tahun 2017 sehingga Mac 2024.

    Pendakwaan itu dibuat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ahmad Khairuddin tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah RM20,000 bagi setiap pertuduhan, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin.

    Beliau turut mencadangkan syarat tambahan jaminan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

    Zuraidi dalam rayuan kepada mahkamah memohon jaminan dikurangkan kerana menyara ibu kandung berusia 57 tahun, bapa tiri berumur 56 tahun dan seorang anak yang masih bersekolah, serta mempunyai penyakit buasir.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah RM45,000 (9 pertuduhan), serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis di IPD Mersing setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

    Mahkamah juga menetapkan 11 Disember sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    BH ONLINE


  • ‘Transporter dadah’ warga Indonesia ditahan bersama syabu 5kg

    MELAKA — Lelaki warga Indonesia bertindak sebagai ‘transpoter’ dadah ke negara jiran ditahan polis bersama syabu seberat lebih lima kilogram (kg) menerusi operasi Op Tapis, semalam.

    Suspek berusia 40 tahun itu ditangkap hasil operasi bersepadu polis di pesisir pantai dekat Kota Syahbandar, pada jam 5.50 pagi.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata polis melakukan serbuan dan menahan suspek yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah rentas negara di negeri ini.

    “Semasa ditahan suspek sedang menggalas sebuah beg berwarna merah dan hasil pemeriksaan didapati ia mengandungi lima paket plastik lutsinar tertulis perkataan ‘Very Good’ disyaki berisi dadah syabu, berat kasar 5,053 gram.

    “Semua dadah dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM161,696 dan jika terlepas ke pasaran luar kita jangka boleh digunakan oleh 25,265 penagih dadah.

    “Siasatan awal mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak pertengahan September lalu dengan modus operandi menggunakan jalan laut bagi menyeludup keluar dadah ke pasaran luar,” katanya memaklumkan polis turut menyita kereta Proton Wira dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan haram itu.

    Menurut Zainol, sindiket terbabit dipercayai membawa masuk bekalan dadah itu dari selatan Thailand sebelum diseludup ke pasaran luar yang dianggarkan boleh digunakan oleh 25,265 penagih dadah.

    Ujarnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu didapati negatif selain tiada rekod kesalahan lampau.

    “Suspek menetap di Bukit Beruang dan bekerja sebagai buruh kini direman tujuh hari sehingga 3 November ini bagi membantu siasatan.

    “Semua dadah dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana kesalahan mengedar dadah,” katanya.

    Beliau berkata, Polis Melaka sentiasa menyeru agar masyarakat untuk menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dadah di kawasan masing-masing di talian hotline JSJN Melaka di talian 012-2087222.

    BH ONLINE


  • Harga pasaran cecah lima kali ganda punca Malaysia jadi hab transit dadah

    SUBANG JAYA — Harga pasaran dadah diseludup keluar dari negara ini yang meningkat sehingga lima kali ganda dipercayai menjadi antara punca Malaysia dijadikan negara hab transit oleh sindiket dadah.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narktotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata kegiatan penyeludupan masuk dadah ke Malaysia bukan saja untuk memenuhi keperluan permintaan dadah di negara ini, malah kedudukan geografinya berdekatan kawasan Segi Tiga Emas menjadikan ia lokasi strategik untuk sindiket dadah melakukan kegiatan penyeludupan ke negara luar.

    “Sindiket dadah bukan saja mahu memenuhi permintaan dadah di negara ini, malah menjadikan Malaysia hab transit dadah ke negara ketiga dan keempat.

    “Harga pasaran yang tinggi mencecah empat hingga lima kali ganda juga menyebabkan sindiket mengambil kesempatan untuk menyeludup dadah masuk ke negara ini sebelum menyeludupnya semula keluar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

    Berikutan situasi itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguat kuasa lain sentiasa berusaha mempertingkatkan kawalan di sempadan negara termasuk mengenal pasti jalan tikus digunakan suspek membawa dadah ke negara ini.

    “PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam kawalan sempadan sebagai tindakan proaktif menangani isu penyeludupan dadah.

    “Kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi panas yang kerap digunakan untuk penyeludupan dan laluan tikus, namun sindiket juga kerap menukar laluan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Saya tidak dapat memberikan angka yang tepat mengenai jumlah laluan tikus kerana ia sering berubah-ubah. Sindiket tahu untuk mengambil kesempatan di lokasi tertentu yang kurang dikawal kerana sempadan negara kita juga terlalu luas,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, PDRM tidak akan leka dan sentiasa mencari kaedah serta cara mengekang kegiatan penyeludupan dadah daripada terus berleluasa.

    BH ONLINE


  • ‘Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, tak siapa peduli’ – Dr Mahathir

    KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kenyataan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai 2017 yang menuduhnya ‘Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty’ mungkin tiada kesan jika beliau penjual kacang putih.

    “Jika saya penjual kacang putih di tepi jalan, tak siapa peduli, tetapi sebaliknya kenyataan Ahmad Zahid itu mencalarkan reputasi dan nama saya sebagai bekas Perdana Menteri dan pemimpin politik,

    “Dia tidak sepatutnya menipu, kata-katanya diambil serius oleh orang awam. Saya di sini untuk membuktikan dia menipu sebagai ketua parti politik, dia (Ahmad Zahid) tidak sepatutnya menipu,” katanya ketika memberi keterangan sebagai plaintif dalam kes saman terhadap Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

    Dr Mahathir berkata, sebagai ketua sebuah parti politik, apa yang dikatakan Ahmad Zahid itu diambil secara serius oleh orang awam.

    “Orang awam tidak ada tempat untuk merujuk kenyataan Ahmad Zahid itu sama ada betul atau palsu, mereka mempercayainya kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti politik,” katanya

    Ketika menjawab soal balas daripada peguam Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, Dr Mahathir berkata pada peringkat awal selepas video kenyataan Ahmad Zahid tular, beliau menganggapnya sebagai kenyataan politik dan tidak diambil serius oleh orang ramai.

    “Tetapi selepas itu, saya dapati semakin ramai orang bertindak memberi komen mengenai kenyataannya. Kenyataan itu juga antara faktor kekalahan BERSATU pada pilihan raya pada 2018.

    “Ketika menonton video itu, dia (Ahmad Zahid) menunjukkan satu imej yang didakwa kad pengenalan asal milik saya, dia tidak pernah menunjukkan gambar itu secara telus. Setakat sebuah imej, sesiapa saja boleh mengubahnya,” katanya.

    Dr Mahathir yang memberi keterangan sebagai plaintif, berkata kenyataan Presiden UMNO itu menggambarkan seolah-olah beliau bukan Mahathir Mohamad.

    Pada prosiding hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau mengemukakan saman fitnah terhadap Ahmad Zahid kerana kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu satu pembohongan.

    Ketika disoal balas, Dr Mahathir beberapa kali menegaskan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ yang didakwa tertera pada kad pengenalan birunya, adalah tidak benar.

    Pada prosiding itu, Mohd Shahrul Fazli turut mempertikaikan mengapa Dr Mahathir mengambil masa lima tahun untuk memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid.

    Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai hak mengemukakan tindakan saman yang didakwa menghinanya kerana masyarakat masih mengingati isu dibangkitkan dan pernah dituturkan Timbalan Perdana Menteri itu.

    Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, sebagai defendan.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

    Dr Mahathir percaya individu dirujuk Ahmad Zahid dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

    Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkan beliau kepada rasa tidak puas hati dan dibenci masyarakat.

    Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong, malah kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoalkan dan diragui.

    Katanya, kenyataan itu juga difahamkan beliau adalah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika memegang jawatan awam dan tidak layak menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.

    Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong bersambung esok.

    BH ONLINE