Category: MALAYSIA

  • Pemimpin kanan koperasi direman lima hari, bantu siasatan seleweng RM3.2 juta

    IPOH — Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah reman lima hari terhadap seorang ahli lembaga koperasi sebuah agensi kerajaan yang disyaki menyalah guna kuasa untuk menyeleweng wang pelaburan RM3.2 juta.

    Majistret Siti Hanum Mohamad Sah membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap lelaki berusia 46 tahun itu sehingga Sabtu depan.

    Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Lelaki itu yang juga ahli lembaga koperasi sebuah agensi pembukaan tanah di daerah Perak Tengah disyaki menyalahguna jawatan dengan mengarahkan wang pelaburan masing-masing bernilai RM700,000 dan RM2.5 juta dari koperasi dimasukkan ke akaun syarikat milik adik dan isterinya tetapi tiada projek dilaksanakan.

    Dia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya di sini, pada jam 2.25 petang semalam.

    Lelaki yang berpakaian lokap SPRM itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 10.24 pagi tadi sebelum dibawa keluar kira-kira 25 minit kemudian.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    BH ONLINE


  • Melompat keluar gondola di tingkat 8, pekerja asing maut jatuh bangunan

    BAYAN LEPAS — Seorang pekerja asing lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan di tapak pembinaan, di sini, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dilapor parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, susulan itu sepasukan pegawai penyiasat JKKP ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat kes berkenaan.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pekerja kontraktor yang dilantik menjalankan kerja mengecat dan plaster di tapak pembinaan itu.

    “Lelaki itu dilapor terjatuh dari tingkat lapan ketika sedang melompat keluar dari gondola (akses gantung sementara) ke tingkat lapan.

    “Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

    Katanya, notis pemberhentian serta-merta ke atas penggunaan kelengkapan akses gantung jenis sementara bagi kerja di tempat tinggi di tapak pembinaan terbabit dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

    JKKP juga mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKPP Pulau Pinang.

    “Siasatan susulan akan dijalankan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan rakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti, selain lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

    “Majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor, selain komited meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya.

    BH ONLINE


  • 2 warga emas maut tersepit bawah pikap

    KUCHING — Dua warga emas maut tersepit di bawah kenderaan yang mereka naiki selepas terbalik di Jalan Kampung Pelaie, Simunjan, petang tadi.

    Kejadian kira-kira jam 2.30 petang, apabila kenderaan pacuan empat roda yang membawa 10 penumpang itu terbabas sebelum terbalik di tebing jalan.

    Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Blayau Datu, seorang wanita berusia 83 tahun dan Awang Pupon, 63.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.42 petang.

    “Setibanya di lokasi kejadian, pasukan kita mendapati dua mangsa masih tersepit di bawah kenderaan yang terbalik.

    “Lima lagi penumpang selamat dan tiga cedera ringan. Dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

    Jurucakap berkenaan berkata tiga mangsa yang cedera dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Munggu Lalang.

    Katanya, mayat dua warga emas diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE


  • Mangsa bot meletup meninggal dunia

    KANGAR — Seorang nelayan yang cedera parah kerana melecur selepas bot dinaiki terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis pada Khamis lalu, meninggal dunia pagi tadi.

    Mangsa, Nur Azman Abu, 45, yang melecur hampir 88 peratus di anggota badannya meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, jam 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata kematian Nur Azman disahkan oleh Pegawai Perubatan HTF, Dr K Kavenraj selepas mangsa terpaksa ditidurkan sejak Jumaat lalu.

    “Punca kematian disebabkan luka lecur yang parah di keseluruhan badan mangsa.

    “Seorang lagi rakan mangsa yang turut terbabit dalam kejadian itu masih lagi dirawat di HTF untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam Khamis lalu, Nur Azman dan rakannya, Mohdmad Bakri Idham, 54, cedera kerana melecur disambar api selepas bot fiber yang dinaiki meletup dan terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru.

    Ketika kejadian, penduduk kampung di kawasan itu sedang sibuk menguruskan kediaman mereka yang sedang dimasuki air akibat fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Perlis.

    Ketika kejadian berlaku, mangsa sedang bersiap-sedia melakukan persiapan untuk ke laut menangkap ikan dan ketika hendak membuat persiapan itu, mangsa membuat pemeriksaan bot dengan memastikan minyak, bateri dan kelengkapan bot yang lain lengkap sebelum bertolak.

    Namun, apabila mangsa membuka penutup ruangan simpanan bateri, secara tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot itu.

    Api dari letupan berkenaan menyambar kedua-dua mangsa mengakibatkan mangsa terbakar.

    BH ONLINE


  • Lelaki maut tersepit bawah kereta

    BUTTERWORTH — Seorang penunggang motosikal maut tersepit di bawah kereta dalam kemalangan di Kilometer (KM) 134.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Perai, di sini, awal pagi tadi.

    Mangsa, Ang Kien Seong, 24, yang menunggang motosikal jenis SYM disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Rohaizal Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.44 pagi berhubung kemalangan itu.

    “Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva Elite dan motosikal jenis SYM ditunggang mangsa.

    “Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta itu dibuat menggunakan peralatan khas bomba dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

    Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE


  • Penuntut Kolej Komuniti maut, 5 motosikal bergesel elak lopak

    MELAKA — Kegembiraan lima rakan meraikan cuti hujung minggu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut, manakala dua cedera dalam kemalangan lima motosikal di Jalan Persisiran Pantai Klebang, di sini, awal pagi tadi.

    Nahas berlaku kira-kira jam 3 pagi dan mangsa Muhammad Amirul Mohd Sukri,20, beralamat di KM17 Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, di sini, maut di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan mendapati ketika kejadian si mati yang juga penuntut Kolej Komuniti Masjid Tanah bersama empat penunggang lain dalam perjalanan dari arah pusat Bandar Melaka menghala ke Klebang.

    Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bergesel sesama sendiri sewaktu cuba mengelak lopak air di lorong kiri.

    “Akibat kemalangan itu, Muhammad Amirul yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC terjatuh di atas jalan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di muka serta kepala.

    “Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

    “Dua penunggang masing-masing berusia 19 tahun mengalami luka seluruh badan dan dirawat di zon hijau, manakala dua lagi tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Christopher berkata, semua kenderaan terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Kenderaan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menentukan punca kemalangan.

    “Setakat ini kita sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan kerana tiada sistem kamera litar tertutup di lokasi kemalangan.

    BH ONLINE


  • Berjaya genggam PhD selepas 10 tahun berusaha

    KUALA NERUS — Walaupun sudah menjangkau usia emas namun seorang wanita kelahiran Paris, Perancis, berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

    Christine Longuet atau nama Islamnya Rohani Abdullah, 80, dari Kampung Pulau Duyung, Kuala Terengganu, berkata, dia mengambil masa 10 tahun untuk menyiapkan kertas kajian (tesis) di peringkat PhD dan usahanya itu membuahkan hasil apabila hari ini dia dianugerahkan segulung ijazah di peringkat PhD.

    Katanya, kekangan waktu untuk menyiapkan kertas kajian mengakibatkan begitu banyak masa diambil namun dia bersyukur kerana akhirnya dia berjaya menerima ijazah doktor falsafah.

    “Ketika di sana (Paris) saya sudah menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Sorbonne, Paris, dalam jurusan sejarah sebelum berhijrah ke Terengganu.

    “Ketika di Malaysia, saya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

    “Manakala di sini UMT, saya melanjutkan pengajian dalam jurusan etnobotani,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini, hari ini.

    Menurutnya, dia bersyukur walaupun mengambil masa lama untuk menyiapkan kertas kajiannya itu namun akhirnya dia berjaya menyiapkan tesis bertajuk ‘Places, Plants and People In The State Of Terengganu Malaysia: An Assessment From Two Eras’.

    Katanya, dia turut mengarang buku antara buku yang ditulisnya ialah Puisi Duyung Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan dan Amanah: Journey An Architect iaitu buku mengenai hasil arkitek tempatan, Nik Mohamed Mahmood.

    Katanya, Kampung Pulau Duyung, tempat dia menetap satu ketika dahulu amat terkenal dalam dunia pembuatan bot dan kapal layar hingga ramai individu dari benua eropah yang datang untuk menempah kapal layar yang dibuat oleh tukang-tukang tempatan yang berkemahiran tinggi.

    Rohani berkata, dia sudah menetap di Terengganu selama 53 tahun membuatkan dirinya sudah sebati dengan persekitaran serta kehidupan masyarakat setempat.

    “Ketika mula-mula datang ke kampung itu saya belajar bertutur Bahasa Melayu, dengan tukang-tukang yang membuatkan bot dan perahu layar di tebing Sungai Terengganu.

    “Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk menguasai bahasa Melayu dan pada tahun 1977 ketika berusia 34 tahun saya berkahwin dengan suami yang juga merupakan anak seorang iman di Kampung Pulau Duyung.

    “Budaya masyarakat Melayu amat menarik dengan kehalusan bahasa, seni bina, kehidupan bermasyarakat yang utuh membuatkan saya tertarik untuk terus menerap di negeri ini,” katanya antara 89 pelajar yang menerima ijazah doktor falsafah.

    Menceritakan kisah hidupnya dia berkata, keluarganya satu masa dulu pernah memiliki kapal layar bernama Ganti Rampai, dan pernah membuat pelayaran dengan membawa anak-anaknya belayar di Laut China Selatan (LCS).

    Menurutnya, kapal layar milik arwah suami masih ada dan kini ditempatkan di bengkel bagi kerja baik pulih.

    Katanya, kapal layar dengan reka bentuk pinis gobel itu merupakan satu kenangan buat kami sekeluarga.

    “Itu kisah dulu namun dalam usia emas saya berusaha menyiapkan tesis di peringkat PhD dan berjaya menggapainya selain banyak perubahan sudah saya lihat dari era 70-an hingga kini yang berlaku di kampung ini.

    “Dahulu suasananya lain kini ia sudah lain ada juga tradisi yang kian ditelan zaman dan apa yang dapat dilihat iaitu industri pembuatan kapal layar dan bot juga semakin suram,” katanya.

    BH ONLINE


  • Pemandu maut, rakan cedera kereta terbakar di NPE

    KUALA LUMPUR — Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 14.9, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala ke Pantai Dalam, pagi tadi.

    Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian itu pada jam 8.28 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Sohirol Rizal Madon, berkata kebakaran membabitkan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki berpunca daripada kemalangan jalan raya.

    “Pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Seorang lagi mangsa berusia 24 tahun yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sohirol Rizal berkata, kenderaan terbabit terbakar 100 peratus dan operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.

    BH ONLINE


  • 5 mangsa perahu karam ditemui lemas, operasi SAR selama 43 jam ditamatkan

    KUCHING — Semua lima mayat mangsa perahu lumba yang karam Jumaat lalu ditemukan di kawasan berdekatan antara satu dengan lain di Sungai Sarawak, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, satu daripada mayat mangsa ditemui di tebing manakala empat lagi terapung di tengah sungai.

    Beliau berkata, lokasi semua mangsa ditemui berkedudukan kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi perahu mereka karam.

    “Semua mayat mangsa ditemui dalam bahagian baraj (sistem Skim Pengawalan Sungai Sarawak).

    “Tempoh operasi pencarian adalah selama 43 jam sehingga mayat pertama ditemui pada jam 6.16 pagi tadi selepas kejadian berlaku pada jam 3.47 petang, Jumaat lalu,” katanya.

    Mohd Farhan berkata, semua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

    “Ahli keluarga semua mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung penemuan itu dan mereka dipanggil ke HUS untuk membuat pengecaman,” katanya.

    Lima mangsa terbabit ialah Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Mohamad Khairul Bidin, 26 dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.

    Semua mayat mangsa yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Foreksik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

    Ketika kejadian kira-kira jam 3.40 petang Jumaat lalu, mereka bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regata Sarawak pada 1 hingga 3 November ini.

    Perahu panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai gelombang yang terhasil oleh kapal nelayan yang datang dari arah bertentangan.

    Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat kelima-lima mangsa ditemui di muara Sungai Sarawak, pagi ini.

    Beliau berkata, dua mayat ditemui anggota JBPM berdekatan Baraj Sungai Sarawak pada jam 6.16 pagi.

    “Mangsa ketiga juga ditemui di muara Sungai Sarawak pada jam 6.40 pagi, diikuti penemuan mangsa keempat oleh anggota Sarawak Coastguard jam 7.07 pagi manakala mangsa terakhir dikesan menerusi dron polis pada jam 7.09 pagi,” katanya.

    BH ONLINE


  • Buat tuntutan palsu, Pengurus Besar PPK Gerik didakwa di mahkamah

    IPOH — Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memalsukan dokumen, lima tahun lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Fuad Omar, 40, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengemukakan invois palsu atas nama syarikat DANS AUTO bertarikh 30 September 2019 berjumlah RM1,975 berkaitan bayaran penyelenggaraan kenderaan pejabat PPK jenis Toyota Hilux, sedangkan invois asal hanya berjumlah RM288.30 bagi memperdaya prinsipalnya di Pejabat PPK Gerik, daerah Hulu Perak, pada September 2019.

    Bagi pertuduhan kedua, bapa tiga anak itu didakwa menggunakan invois palsu atas nama syarikat SLL Machinery Hardware Sdn Bhd bertarikh 11 September 2019 berjumlah RM1,155.20 bagi pembelian barangan untuk kegunaan di kedai Agrobazar PPK Gerik sedangkan invois asal hanya berjumlah RM167.60 bagi maksud mengelirukan prinsipalnya di lokasi dan masa sama.

    Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Dia juga tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan berkaitan pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

    Pegawai Pendakwa Mohd Pahmi Ahmad dan Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

    Bagaimanapun, peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai penolong hal ehwal ekonomi di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak dengan pendapatan bulanan RM4,600 perlu menanggung tiga anak masing-masing berusia 12 dan kembar berusia setahun.

    “Selain itu, anak guam ada penyakit diabetes dan menerima rawatan di hospital,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh mesti melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

    Sebutan semula kes ditetapkan 14 November depan untuk serahan dokumen.

    BH ONLINE


  • Pemandu kereta maut, 2 parah dalam kemalangan 4 kenderaan

    KOTA TINGGI — Seorang pemandu kereta maut, manakala penumpangnya dan seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 56.7 Lebuhraya Senai Desaru, Bandar Penawar, di sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata kemalangan pada jam 7.10 malam itu berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 25 tahun itu yang datang dari arah Johor Bahru memasuki laluan bertentangan.

    Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan kereta terbabit bertembung sebuah lori, seterusnya menyebabkan lori dipandu lelaki berusia 47 tahun hilang kawalan dan terbabas lalu bergesel dengan sebuah kereta Perodua Alza.

    “Kereta Perodua Bezza yang bertembung dengan lori kemudian berpusing dan berlanggar dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, menyebabkan pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Penumpang Perodua Bezza dan penunggang motosikal yang parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini, manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE-BERNAMA


  • Dua nelayan cedera, seorang parah bot meletup

    KANGAR — Dua nelayan cedera dengan seorang daripadanya parah kerana melecur selepas bot mereka naiki terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis malam tadi.

    Dalam kejadian 11.55 malam, mangsa Mohamad Bakri Idham, 54, dari Kampung Baru, Jalan Sarawak, Kuala Perlis, melecur hampir 90 peratus manakala rakannya Nur Azman Sabu, 45, pula mengalami lecur sekitar 45 peratus, pada keseluruhan badan mereka.

    Semasa kejadian, penduduk kampung di kawasan itu sibuk menguruskan kediaman mereka yang dimasuki air akibat fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Perlis.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata ketika kejadian mangsa sedang melakukan persiapan untuk ke laut menangkap ikan.

    “Bot fiber berkenaan diletakkan berhampiran pelantar Kampung Tanah Bari, Kuala Perlis sebagai persiapan untuk kedua-dua mangsa itu ‘turun’ ke laut selepas itu.

    “Mengikut maklumat daripada salah seorang mangsa, ketika mereka hendak membuat persiapan itu, mangsa membuat pemeriksaan bot dengan memastikan minyak, bateri dan kelengkapan bot yang lain lengkap sewaktu bertolak ke laut.

    “Namun, apabila mangsa membuka penutup ruangan tempat simpan bateri, secara tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot itu,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

    Katanya, api dari letupan berkenaan menyambar kedua-dua mangsa.

    “Menurut mangsa, punca kebakaran berlaku apabila mangsa membuka penutup ruangan penyimpanan bateri dan api berkenaan menyambar kedua-dua mangsa dalam bot itu, namun sempat diselamatkan oleh orang kampung yang turut berada di kawasan itu.

    “Mangsa bagaimanapun selamat dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut,” katanya.

    BH ONLINE


  • Bekas Pengarah KPTM Semporna didenda RM18,000 kerana rasuah

    TAWAU — Bekas Pengarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Semporna didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan, tujuh tahun lalu.

    Hukuman diputuskan Hakim Jason Juga selepas menerima pengakuan bersalah, Saifulkahar Shariff, 56, terhadap semua pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

    Mengikut semua pertuduhan alternatif, bapa kepada enam orang anak itu didakwa menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan 12 Borang Permohonan Perolehan bagi pembelian tiket kapal terbang untuk isteri dan anak lelakinya dari Tawau ke Kuala Lumpur, dengan nilai keseluruhan RM6,797.50.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat KPTM Cawangan Semporna, antara November 2017 sehingga Ogos 2018.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Nurul Ain Sahidah Pitting dan Siti Suherah Usman.

    Pada 24 Februari 2022, tertuduh berdepan 12 pertuduhan utama mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

    Siti Nurul Ain Sahidah dalam rayuan mitigasinya memohon denda minimum mengambil kira pengakuan tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.

    Katanya, tertuduh satu-satunya pencari nafkah dan penanggung utama keluarganya dengan empat anak masih bersekolah dan sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

    “Tertuduh adalah pesalah kali pertama dan sudah menyelesaikan sepenuhnya bayaran yang tertunggak dan yang perlu dibayar kepada KPTM sejak 2019,” katanya.

    BH ONLINE


  • Cabul anak saudara atas motosikal, lelaki dipenjara 5 tahun, 3 sebatan

    MUAR — Bapa dua anak yang mengambil kesempatan mencabul anak saudara yang juga orang kelainan upaya (OKU) atas motosikal ketika mengambilnya di sekolah di Segamat, dipenjara lima tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

    Dia bekerja sendiri berusia 30 tahun didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor selepas pertuduhan dibaca jurubahasa terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak saudaranya berusia 14 tahun antara jam 2 hingga 3.30 petang, sejak September hingga 3 Oktober lalu.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 6 Oktober lalu selepas memaklumkan anaknya menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh bapa saudaranya.

    Siasatan dijalankan mendapati kejadian itu berlaku atas motosikal ketika tertuduh mengambil mangsa yang juga OKU pembelajaran di sebuah sekolah menengah.

    Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, tertuduh didakwa mengambil kesempatan terhadap mangsa.

    Namun, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menangis serta memberontak kerana enggan ke sekolah walaupun beberapa kali dipaksa ibunya.

    Ibunya kemudian bertanyakan perkara sebenar sebelum mangsa menceritakan kejadian berlaku ke atasnya sepanjang membonceng motosikal bersama bapa saudaranya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan tiga kali terhadap tertuduh yang berkuatkuasa dari tarikh ditahan, 6 Oktober lalu.

    Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling serta pengawasan polis sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.

    BH ONLINE


  • Gagal bayar award tuntutan tribunal pengguna, pengarah syarikat umrah didenda RM18,000

    SEREMBAN — Sebuah syarikat pengendali pakej umrah berserta pengarahnya didenda RM18,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas enam pertuduhan gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi membayar tuntutan berjumlah RM67,390 kepada tiga individu.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah terhadap syarikat Persada Oasis Travel & Tours Sdn Bhd serta Mohd Firdaus Ahmad, 38.

    Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

    Terdahulu, mahkamah diberitahu Mohd Firdaus sudah membuat pengakuan bersalah pada 14 Oktober lalu dan prosiding hari ini adalah bagi sebutan hukuman.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Firdaus gagal mematuhi award TTPM dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan pada 27 Jun 2023 yang memerintahkannya membayar RM14,040 kepada Norma Said, 58; RM27,880 kepada Azlina Umar, 52, dan RM25,470 kepada Siti Aisyah Zakaria, 32, yang membuat tuntutan itu.

    Perbuatan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Ostia Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 26 Julai 2023.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

    Sebelum itu, Mohd Firdaus dalam rayuan hukumannya mendakwa namanya secara tidak sah diletakkan sebagai pengarah syarikat pada hujung 2022.

    Beliau berkata, dalam kes itu dia dijadikan sebagai kambing hitam dan menjadi rakan kongsi dengan pemilik syarikat (sebelum ini).

    “Disebabkan kes ini, saya kehilangan kerja dan segala-galanya. Saya berazam membayar balik (award perintah). Bagi masa dan ruang kepada saya,” katanya.

    Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.

    Ini kerana, katanya, semakin banyak kes ketidakpatuhan award dan memohon hukuman sewajarnya kepada tertuduh bagi memberi pengajaran.

    BH ONLINE


  • Bekas kakitangan JTU Tawau didakwa 4 pertuduhan terima rasuah

    TAWAU — Bekas kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Daerah Tawau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM16,000 tiga tahun lalu.

    Abdul Manan Usman, 60, yang juga pesara kerajaan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Operasi N11, di Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Tawau didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada Ramli Bunchoi, 66, tanpa balasan.

    Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh didakwa menerima wang tunai secara berperingkat keseluruhan berjumlah RM11,000 daripada Faizal Mohamad, 36, tanpa balasan.

    Tertuduh didakwa mengetahui bahawa Ramli dan Faizal mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di JTU Tawau dan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di TB5396 Lorong 4, Taman Victoria Jalan Kuhara, dekat sini antara 30 Oktober hingga 22 November 2021.

    Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom menawarkan jaminan RM10,000 untuk semua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sebelum dan semasa perbicaraan.

    Jason membenarkan jaminan RM10,000 dengan deposit RM2,000 kepada mahkamah dan seorang penjamin tempatan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

    BH ONLINE


  • Aktif jual pakaian jenama terkenal disyaki tiruan di TikTok makan diri

    TUMPAT — Aktif menjual pakaian jenama terkenal disyaki tiruan menerusi media sosial memakan diri apabila seorang lelaki dikenakan tindakan.

    Susulan itu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama wakil pemilik hak cipta membuat serbuan di sebuah kedai pakaian di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini.

    Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan dibuat jam 10 pagi semalam hasil aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang mengenai aktiviti penjualan jaket tiruan secara atas talian secara berleluasa.

    “Operasi itu berjaya membongkar aktiviti penjualan barangan tiruan membabitkan penggunaan cap dagang berdaftar tanpa kebenaran.

    “Sebanyak 131 helai jaket pelbagai saiz yang disyaki dipakaikan cap dagangan jenama terkenal disita dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM4,585,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Susulan itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang juga pemilik premis, disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan memiliki dan menggunakan cap dagangan berdaftar untuk tujuan perdagangan tanpa kebenaran.

    Azman berkata, mengikut soal siasat yang dilakukan, lelaki itu mengaku menjual pakaian jenama terkenal disyaki tiruan itu sejak Februari lalu dan aktif di TikTok termasuk menjual secara siaran langsung (live).

    “KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada peniaga lain agar tidak terbabit dalam kegiatan penjualan barangan tiruan yang melanggar undang-undang.

    “Kami akan terus menjalankan pemantauan serta tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah akan diambil malah kegagalan mematuhi undang-undang boleh membawa kepada hukuman denda yang berat termasuk penjara,” katanya.

    BH ONLINE


  • Pelajar tahfiz maut terkena renjatan elektrik ketika hujan lebat

    BESUT — Pelajar tahfiz di sebuah madrasah di Kampung Gong Penaga, Jabi, dekat sini, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik, malam tadi.

    Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 18, dari Klang, Selangor, disahkan meninggal dunia ketika di Unit Kecemasan Hospital Besut, kira-kira jam 11.35 malam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata kejadian semasa hujan lebat apabila mangsa dipercayai memegang mentol dan mahu membasuh tangan di singki.

    Katanya, pengadu dalam kes itu yang juga guru tahfiz menerima panggilan daripada rakan setugas yang memaklumkan remaja itu tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik, kira-kira jam 10.30 malam.

    “Ketika pengadu sampai di madrasah, pelajar lain mengangkat mangsa ke dalam kereta dan terus menuju ke Hospital Besut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika berada di unit kecemasan hospital berkenaan.

    BH ONLINE


  • Luluh hati isteri lihat suami dibaham harimau

    GERIK — Luluh hati seorang isteri apabila menyaksikan sendiri suaminya diserang dan diseret harimau masuk kawasan hutan Bersia di sini, awal pagi tadi.

    Ketika kejadian sekitar 5 pagi, suami wanita itu hendak ke tandas di kawasan rumah kongsi mereka di hutan itu.

    Susulan serangan haiwan liar itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata gerakan mencari yang dilancarkan menemui mayat mangsa berumur 54 tahun dalam keadaan parah pada kaki kiri dan leher jam 12 tengah hari, kira-kira 100 meter dari rumah kongsi mereka.

    Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Gerik) menerima maklumat kejadian serangan harimau di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, jam 8.25 pagi tadi.

    “Maklumat diterima berkaitan kejadian seorang lelaki tempatan telah dibaham harimau ketika hendak ke tandas di rumah kongsi Bagan Balak di KM79.2 JRTB Gerik-Jeli dengan perkara itu disaksikan seorang wanita warga Thailand yang juga isteri mangsa.

    “Isteri mangsa terdengar harimau mengaum dan membuka pintu rumah kongsi mereka sebelum melihat harimau mengheret suaminya ke semak,” katanya dihubungi hari ini.

    Azizi berkata, Ketua Balai Bersia bersama tiga anggota balai itu dibantu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Gerik serta 10 anggota Perhilitan ke lokasi jam 10.30 pagi tadi bagi melakukan siasatan serta memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Terdahulu, media melaporkan Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff mengesahkan penerimaan aduan berhubung seorang lelaki diserang binatang buas di kawasan hutan dekat Bersia, hari ini.

    BH ONLINE


  • Tukang masak maut kereta langgar jentolak

    SUNGAI PETANI — Seorang tukang masak maut selepas kereta Perodua Axia dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah jentolak di Jalan Lencong Timur, di sini hari ini.

    Zuraini Murad, 48, dari Darulaman Perdana, di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam nahas kira-kira jam 5.30 pagi itu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata dua kenderaan itu dari arah Taman Batik menuju ke Bukit Bayan.

    “Hasil siasatan awal mendapati nahas apabila jentolak itu bergerak lurus di lorong kanan sebelum Perodua Axia dipandu mangsa melanggar dari arah belakang sehingga menyebabkan kemalangan.

    “Akibat kemalangan, pemandu kereta cedera bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Wan Azharuddin berkata, lelaki berusia 24 tahun yang memandu jentolak tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    BH ONLINE