Category: MALAYSIA

  • Polis tembak mati dalang sindiket rompak emas di Tanjung Malim

    IPOH — Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai dalang sindiket samun bersenjata yang menyasarkan pemborong emas di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim, awal pagi ini.

    Pemeriksaan latar belakang oleh polis menunjukkan suspek adalah ‘perancang utama’ kumpulan penjenayah yang menyasarkan emas yang dibawa pemborong.

    Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata bahawa Pusat Kawalan Daerah Muallim menerima maklumat kejadian tembak-menembak antara seorang penjenayah dan pihak polis pada jam 3.10 pagi tadi.

    “Ketika menjalankan rondaan dan risikan, polis mengesan seorang lelaki yang memandu laju sebuah Nissan Almera di sepanjang Jalan Slim.

    “Polis mengarahkan lelaki berusia 43 tahun itu supaya memberhentikan kenderaannya, tetapi dia terus memecut laju dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta peronda polis.

    “Bagi mempertahankan diri, polis membalas tembakan dan terkena suspek. Lelaki itu disahkan mati di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Tanjung Malim,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak hari ini.

    Azizi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu berasal dari Klang, Selangor dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan rompakan berkumpulan, sengaja menyebabkan kecederaan, dan penipuan.

    “Semasa pemeriksaan ke atas kereta itu, polis merampas sepucuk pistol Sig Sauer, satu kelopak peluru, enam butir peluru, tiga botol berisi peluru pistol dan dua bilah parang.

    “Dalam insiden tembak-menembak itu, sebuah kereta peronda polis terkena tembakan di pintu belakang sebelah kiri penumpang,” katanya sambil menambah bahawa tiada anggota polis yang cedera dalam kejadian itu.

    “Pemeriksaan menunjukkan bahawa kumpulan ini telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes rompakan emas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak sejak 2018.

    “Jumlah kerugian dianggarkan daripada 25 kes ini adalah sebanyak RM34.2 juta,” katanya.

    Azizi berkata bahawa dalam kejadian terbaru, suspek terlibat dalam rompakan pembekal emas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 27 Ogos tahun ini.

    “Kejadian itu mengakibatkan kehilangan 4.5kg emas, yang dianggarkan bernilai RM1.485 juta,” katanya, sambil menambah polis sedang mengesan baki ahli kumpulan ini bagi menghalang insiden jenayah seterusnya.

    BH ONLINE


  • ‘Saya saman Ahmad Zahid kerana dia menghina saya secara peribadi’ – Dr Mahathir

    KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu adalah satu pembohongan.

    Dr Mahathir yang memberi keterangan sebagai plaintif dalam kes saman terbabit di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata kenyataan Presiden UMNO itu menggambarkan seolah-olah beliau bukan Mahathir Mohamad.

    “Saya memfailkan saman ini kerana beliau menghina saya secara peribadi dengan membangkitkan isu ‘kutty’ yang menyentuh keturunan saya.

    “Masyarakat Melayu tidak meletakkan ‘anak lelaki’ sebaliknya menggunakan perkataan ‘bin’ pada nama.

    “Mana-mana orang bodoh pun akan faham beliau hendak menggambarkan bahawa saya bukan seorang Melayu, dengan menggunakan perkataan ‘anak lelaki Iskandar Kutty’.

    “Semua kenyataan beliau adalah bohong. Tujuan beliau adalah untuk menunjukkan saya berpura-pura bahawa saya adalah Mahathir Mohamad,” katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan undang-undang diambil tiga bulan selepas Ahmad Zahid menyamannya pada April 2022.

    Ketika disoal balas peguam Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Ahmad Zahid, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ yang didakwa tertera pada kad pengenalan birunya, adalah tidak benar.

    Pada prosiding itu, Mohd Shahrul Fazli turut mempertikaikan mengapa Dr Mahathir mengambil masa lima tahun untuk memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid.

    Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai hak mengemukakan tindakan saman yang didakwa menghinanya kerana masyarakat masih mengingati isu dibangkitkan dan dituturkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

    Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, sebagai defendan.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

    Dr Mahathir percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

    Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkan beliau kepada rasa tidak puas hati dan dibenci masyarakat.

    Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

    Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoalkan dan diragui.

    Katanya, ia juga difahamkan beliau adalah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika memegang jawatan awam dan tidak layak menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.

    Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong bersambung Rabu.

    BH ONLINE


  • Kematian model Belanda: Polis kemuka Notis Biru kepada Interpol untuk kesan pasangan AS

    KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa polis telah mengemukakan ‘Notis Biru’ kepada Interpol bagi mengesan lokasi pasangan warga Amerika Syarikat (AS) berhubung kes pembunuhan model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit, pada 2017.

    Peguam Kanan Persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkipli berkata, notis itu dikemukakan Rabu lalu terhadap Alexander William Johnson, 51, dan Lunara Almazkyzy, 37, yang dikaitkan dengan kematian Ivana, remaja berusia 18 tahun.

    Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat mengenai orang yang menjadi perhatian, dan ini merupakan notis kedua yang dikeluarkan terhadap pasangan itu, selepas notis pertama dikeluarkan pada 18 November 2020.

    Sementara itu peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen berkata berikutan kemas kini terkini, perbicaraan hari ini telah dikosongkan kepada 21 Oktober.

    “Perbicaraan asalnya ditetapkan hari ini dan Rabu telah dikosongkan. Pihak-pihak berkaitan telah mempertimbangkan kemungkinan penyelesaian, yang butirannya tidak dapat didedahkan pada masa ini.

    “Mahkamah telah menjadualkan 21 Oktober untuk pihak-pihak terbabit memberikan maklumat terkini mengenai penyelesaian itu; jika tiada resolusi dicapai, perbicaraan akan diteruskan pada tarikh ditetapkan,” kata peguam itu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membenarkan penangguhan itu.

    Verstappen, 60, selaku plaintif memfailkan saman pada 2020 terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan kerana didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam penyiasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya berusia 18 tahun itu.

    Dalam pernyataan tuntutan, Verstappen mendakwa anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Disember 2017 selepas terjatuh dari tingkat 20 unit kondominium yang dimiliki pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

    Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian atau menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy selain gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran pasangan itu sebagai saksi utama semasa inkues.

    Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Ivana disebabkan oleh misadventure (kemalangan akibat nahas).

    Verstappen yang tidak berpuas hati dengan keputusan Koroner, kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 Nov 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan “kematian yang disebabkan oleh seorang atau beberapa individu tidak dikenali”.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Penolong kanan disyaki cabul murid direman 6 hari

    IPOH — Penolong kanan kokurikulum sebuah sekolah rendah di sini ditahan polis kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap murid perempuan berumur 12 tahun.

    Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata guru lelaki berusia 37 tahun itu direman enam hari sehingga Khamis untuk siasatan lanjut selepas ditahan jam 3 pagi Sabtu lalu.

    Katanya, polis sebelum itu menerima laporan dibuat ibu mangsa berumur 47 tahun pada jam 3 petang Jumaat lalu, selepas anak perempuannya memberi dipeluk dan dicium di mulut oleh suspek.

    Katanya, suspek turut menghantar gambar tidak senonoh ke telefon bimbit mangsa.

    “Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah mahupun rekod dadah sebelum ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Menurut Azizi, suspek yang belum berkahwin dan berkhidmat di sekolah itu sejak lapan bulan lalu, disyaki melakukan perbuatan itu beberapa kali sebelum ini terhadap mangsa sama.

    “Setakat ini laporan diterima hanya membabitkan seorang mangsa dan kita sedang siasat jika ada mangsa lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

    Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh ketika mengesahkan kejadian berkenaan, memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil tindakan sewajarnya.

    Tindakan itu, katanya, diambil selepas KPM menerima laporan berhubung kes berkenaan dengan individu terbabit dalam kejadian itu sudah dipindahkan.

    BH ONLINE


  • Tingkat atas bangunan Pasar Besar Kuala Krai terbakar

    KUALA KRAI — Tingkat atas bangunan Pasar Besar Kuala Krai terbakar, awal pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.21 pagi.

    Katanya, lima jentera dengan kekuatan seramai 25 pegawai dan anggota dari BBP Kuala Krai, BBP Sungai Durian, BBP Machang, dan BBP Tanah Merah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

    “Setibanya di lokasi kejadian, bahagian atas pasar besar berkenaan sudah 80 peratus terbakar, walau bagaimanapun tidak ada mangsa yang terperangkap.

    “Tindakan pantas bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke tingkat bawah bangunan dan api dapat dikawal pada jam 2.06 pagi,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, api padam sepenuhnya jam 3.42 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 5.17 pagi dan jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    BH ONLINE


  • Seorang maut, dua cedera kemalangan di Tanjung Aru

    KOTA KINABALU — Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di bawah jalan bertingkat di Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

    Pemandu, Armada Said, 56, ditemui tersepit dalam Proton Iswara Aeroback dipandunya dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lama selepas itu.

    Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.08 malam sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi yang letaknya dua kilometer dari balai bomba.

    “Setiba di tempat kejadian, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Proton Iswara Aeroback dan Perodua Viva.

    “Terdapat tiga mangsa terbabit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

    Riki Mohan berkata mangsa dalam Perodua Viva seorang lelaki berusia 26 tahun cedera dihantar ke hospital oleh orang awam.

    “Dua mangsa berada dalam Proton Iswara Aeroback termasuk pemandu yang disahkan meninggal oleh pasukan KKM di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE I) untuk rawatan lanjut,” katanya.

    BH ONLINE


  • Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di air terjun

    KULIM — Seorang lelaki berusia 31 tahun dikhuatiri lemas ketika sedang mandi bersama beberapa rakannya di kawasan perkelahan Sedim, di sini, petang tadi.

    Difahamkan, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik namun keadaan air agak deras disebabkan hujan di kawasan hulu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.41 petang.

    Katanya, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi-Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zabidi Zainol bersama sembilan anggota tiba di lokasi kejadian.

    “Bilik kawalan BBP Kulim Hi Tech menerima panggilan kecemasan melalui talian terus ke balai memaklumkan seorang mangsa disyaki lemas.

    “Maklumat awal mendapati, mangsa dipercayai lemas sewaktu sedang mandi di kawasan perkelahan berkenaan.

    “Tindakan Pasukan Kawalan Operasi (PKO) adalah dengan melakukan pemeriksaan di sekeliling kawasan air terjun berkenaan dan pencarian di lokasi dengan menggunakan tali (permukaan air).

    “Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut dimaklumkan ke tempat kejadian untuk membantu mencari mangsa,” katanya.

    Azmir berkata mangsa dipercayai datang ke kawasan itu bersama beberapa rakannya dari Pulau Pinang untuk beriadah.

    BH ONLINE


  • Pengawal keselamatan maut dihempap pokok tumbang

    SIK — Seorang lelaki terbunuh di Kampung Bandar Hilir, di sini, petang tadi dipercayai dihempap pokok tumbang ketika sedang menunggang motosikal di kawasan berkenaan.

    Mangsa dikenali Mohd Rizal Aziz, 47, dari Kampung Tanjung Besar, Mukim Teloi, di sini dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal ditempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6 petang tadi ketika ribut dan angin kencang sedang melanda daerah ini.

    Katanya, sebatang pokok dipercayai tumbang secara tiba-tiba ketika kejadian dan menghempap mangsa yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

    “Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik mengarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) ke lokasi untuk mengawal tempat kejadian sejurus menerima laporan.

    “Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik bersama pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik memberi bantuan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan dan kawalan lalu lintas di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Abdull Razak berkata ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeniang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Kubur, Bandar Hilir.

    Sementara itu, Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 5.57 petang.

    “Anggota kami menggunakan gergaji untuk memotong dahan pokok tumbang dan kemudian menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

    BH ONLINE


  • Guru warga Vietnam tak mengaku jadi pelacur, tinggal lebih masa

    MUAR — Guru wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan melacur serta tinggal lebih masa.

    Tertuduh, Doan Thi Mong Trinh, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalillah Khalid.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah rumah kedai di Jalan Indah, Taman Indah, di sini, 3.15 petang, 1 Oktober lalu.

    Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa tinggal lebih masa di negara ini selepas pas lawatan sosial tamat tempoh pada 9 Ogos lalu dengan kejadian ini juga berlaku pada waktu, tarikh dan tempat sama.

    Tertuduh didapati melanggar peruntukan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama, iaitu penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Susulan pengakuan tidak bersalah yang dibuat tertuduh, mahkamah menetapkan 25 November in untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

    BH ONLINE


  • Dua penunggang maut, seorang dirempuh ketika terbaring atas jalan

    MUAR — Dua penunggang motosikal maut dengan seorang daripada mereka dirempuh kenderaan lain ketika terbaring atas jalan dalam dua kejadian berasingan di Lebuhraya Utara Selatan, di sini, semalam.

    Kejadian pertama membabitkan penunggang motosikal berusia 20 tahun yang maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer 139.5, arah utara.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari Johor Bahru ke ibu kota.

    Di tempat kejadian, motosikal ditunggangnya merempuh lori yang berhenti di bahu lebuh raya kerana rosak.

    “Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting ke tengah jalan tapi malangnya, datang sebuah motosikal dari arah belakang lalu merempuhnya.

    “Rempuhan itu mengakibatkan mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi penunggang dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

    Dalam satu lagi kemalangan pada jam 8 malam tadi di Kilometer 129.7 lebuh raya sama, Raiz Mukhliz berkata, lelaki berusia 22 tahun maut selepas motosikalnya terbabas dan memasuki longkang.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan cedera parah serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

    BH ONLINE


  • Kanak-kanak mati disyaki dibaham buaya

    LAHAD DATU — Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang ketika mandi di Pantai Sinakut, FELDA Sahabat 16, dekat sini, semalam, ditemui pagi tadi, dalam keadaan tidak sempurna disyaki dibaham buaya.

    Mayat mangsa berusia sembilan tahun itu ditemui di kawasan pantai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

    Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin yang dihubungi berkata mayat kanak-kanak itu ditemui jam 7.45 pagi.

    “Mangsa dilaporkan mandi bersama lima lagi rakannya, sebelum tiba-tiba dipercayai dibaham buaya dan diheret ke laut sebelum ia dihanyutkan ke persisir pantai,” katanya ketika dihubungi.

    Silvester berkata mengikut laporan awal diterima pihaknya, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarganya datang bercuti di kampung berkenaan.

    Katanya, jabatannya masih menjalankan siasatan lanjut kes itu manakala mayat kanak-kanak berkenaan sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE


  • 2 maut motosikal dinaiki langgar belakang lori

    TANAH MERAH — Dua lelaki termasuk seorang anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan lori di Jalan Gual Ipoh, dekat Kampung Batang Merbau di sini, semalam.

    Dalam kemalangan pada jam 5.30 petang itu, penunggang, Muhammad Hafizul Abdullah Sani, 23, yang juga anggota tentera dan pembonceng, Muhammad Zulekhman Mokhtar, 22, maut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha 125ZR dari arah Batang Merbau menghala ke Gual Ipoh bertembung dengan sebuah lori di Kampung Tok Che Dol.

    “Sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun yang berada di hadapan mangsa membelok untuk masuk ke simpang kanan.

    “Mangsa dikatakan cuba memotong lori itu dan terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang menyebabkan Muhammad Hafizul tercampak dan terperosok di bawah lori, manakala Muhammad Zulekhman tercampak ke dalam semak di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan pembonceng motosikal yang cedera di bahagian kepala serta badan itu meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pihak polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

    BH ONLINE


  • Budak perempuan hilang ketika ambil makanan di kereta selamat, dipercayai diculik

    SHAH ALAM — Enam suspek termasuk dua wanita ditahan polis kerana disyaki menculik kanak-kanak perempuan, Madrafataha Indal Bangsawan, 12, yang dilaporkan hilang dari sebuah flat dekat Bandar Bukit Tinggi 1, Klang pada 8 Oktober lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata tangkapan semua suspek mereka dibuat selepas Madrafataha ditemui selamat jam 2.30 petang kelmarin.

    Dalam usaha menjejaki kehilangan kanak-kanak itu, siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berdekatan flat berkenaan mendapati mangsa mulanya berjalan sebelum menaiki sebuah Perodua Myvi dipercayai diculik.

    Susulan bukti diperoleh, polis kemudian mengklasifikasikan semula kes berkenaan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik mana-mana orang atau dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

    “Bertindak atas maklumat, pada jam 5 petang semalam (kelmarin), enam individu warga tempatan termasuk dua wanita ditahan di Segambut Dalam; Setia Alam dan Pandamaran oleh sepasukan polis Cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan.

    “Semakan rekod terhadap semua suspek berusia 13 hingga 23 tahun itu mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

    Siasatan awal juga mendapati kanak-kanak tersebut mengenali seorang daripada suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Polis turut merampas kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan sebagai kejadian.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

    Media pada Rabu lalu melaporkan Madrafataha dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah kediamannya di flat dekat Bandar Bukit Tinggi 1, Klang.

    Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan itu ke tempat parkir selepas disuruh ibunya untuk mengambil makanan dalam kereta sekitar jam 2.20 petang pada 8 Oktober lalu.

    “Kanak-kanak tersebut turun sendirian dan tidak kembali ke rumah. Pada jam 3 petang, ibu mangsa mencari kanak-kanak itu tetapi tidak menemuinya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

    BH ONLINE


  • Pegawai kanan polis antara tujuh ditahan kes peras ugut, cabul wanita

    KUALA LUMPUR — Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan enam anggota polis ditahan semalam, selepas disyaki terbabit dalam pemerasan dan cabul, 1 Oktober lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata mereka yang berusia antara 30-an hingga 50-an itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

    Katanya, mereka ditahan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita berusia 22 tahun pada 7 Oktober lalu, mendakwa menjadi mangsa pemerasan dan cabul oleh sekumpulan anggota polis.

    “Sebelum ini, kita menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 30-an hingga 50-an dan direman tiga hari bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

    “Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan tujuh orang iaitu seorang pegawai kanan dan enam anggota polis berumur antara 30-an hingga 50-an yang semuanya bertugas di JSJN IPD Cheras ,” katanya.

    Beliau ditemui selepas program larian sempena Hari Sukan Negara 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

    Rusdi menafikan tiada tindakan diambil berkaitan kejadian itu.

    “Semua perlu faham tindakan memerlukan semakan dan siasatan teliti.

    “Siasatan perlu teliti mengapa pengadu lewat membuat laporan. Kita perlu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa kejadian dan siasatan transaksi pembayaran (pemerasan) dibuat. Perlu dilakukan mengikut asas,” katanya.

    Oleh kerana pembayaran pemerasan dibuat melalui pemindahan wang secara dalam talian, beliau berkata, siasatan akan mengambil masa.

    “Mereka direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai Kontinjen Kuala Lumpur yang terbabit dengan kes jenayah,” katanya

    Terdahulu, tular hantaran di aplikasi Telegram mengenai seorang wanita mendakwa menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di unit sebuah kondominium di Cheras.

    Wanita itu didakwa diugut sekumpulan anggota polis yang meminta wang RM150,000 sebelum dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah dalam pemilikannya.

    Wanita itu bagaimanapun dibebaskan selepas dibantu seorang lelaki tempatan membuat pembayaran RM10,000 dan didakwa perlu membuat bayaran semula secara berkala dengan kadar faedah.

    BH ONLINE


  • Kebakaran apartmen ragut nyawa seorang penghuni, dua selamat

    KUALA LUMPUR — Seorang maut manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas kediaman mereka di sebuah apartmen di Sunway Damansara, Petaling Jaya dekat sini, terbakar pagi tadi.

    Kebakaran membabitkan sebuah unit kediaman di tingkat 14 apartmen dengan laporan kebakaran diterima pihak bomba pada jam 8.30 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata mangsa seorang wanita tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat lejadian.

    Katanya, dua lagi penghuni, masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 24 tahun berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara yang ke lokasi.

    “Mangsa yang meninggal dunia ditemui di dalam bilik air di kediaman dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian, kita mendapati ada berlaku kebakaran pada kotak suiz di kediaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kebakaran sedang dijalankan.

    BH ONLINE


  • Tak pernah kenal, tak pernah jumpa dan tak pernah arahkan pembunuhan Altantuya – Najib Razak

    SHAH ALAM — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak pernah mengenali, berjumpa dan sama sekali tidak pernah mengarahkan pembunuhan terhadap wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

    “Saya tidak pernah mengenali, tidak pernah berjumpa dan saya tidak pernah memberi arahan sedemikian, dan saya tidak terbabit dalam pembunuhan Altantuya.

    “Saya sudah menyatakan ini dalam rekod dan bersumpah laknat (Mubahalah) beberapa kali,” kata Najib di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

    Beliau menjawab soalan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertanya sama ada beliau mengenali atau pernah berjumpa dengan Altantuya dan mengarahkan pembunuhannya seperti mana yang tertulis di dalam bab 42 buku ‘My Story: Justice In The Wilderness’ yang ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

    Najib berkata, sebagai bekas peguam negara, Tommy sepatutnya mengesahkan kesahihan sumber maklumatnya sebelum menerbitkan dan mengedarkan buku itu secara meluas didalam dan di luar negara.

    “Selepas meninggalkan Jabatan Peguam Negara (AGC) Tommy menulis kandungan yang prejudis terhadap saya sepanjang perbicaraan 1MDB sedang berjalan.

    “Dia (Tommy) membuat tuduhan terhadap saya dengan menulis sebuah buku yang diterbitkan oleh defendan kedua dan diedarkan di dalam dan di seluruh dunia dengan membangkitkan pembunuhan Altantuya, dan menyatakan bahawa saya berada di belakangnya, jelas bahawa dia berniat mencemarkan nama baik saya,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada beliau mengenali Abdul Razak Baginda, Najib berkata beliau mengenali Abdul Razak sebagai penganalisis pertahanan yang bekerja di bawah pentadbirannya pada masa itu.

    Najib berkata, Abdul Razak terbabit dalam membeli kapal selam daripada pembuat kapal selam Perancis.

    Ia membabitkan perjanjian berbilion dolar untuk Kementerian Pertahanan dalam urusan pembelian dua buah kapal selam Perancis, dikenali sebagai Scorpene.

    Ketika ditanya hubungan Abdul Razak dengan Altantuya, Najib berkata, beliau tidak pernah mengetahui secara terperinci hubungan Abdul Razak namun beliau mendapat tahu mengenai hubungan ‘romantis’ antara mereka selepas membaca laporan media.

    Perbicaraan akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris pada 30 Jun 2025.

    Tommy diwakili peguam, Alan Adrian Gomez manakala peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan mewakili syarikat penerbitan, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

    Pada 2021, Najib, mengemukakan saman terhadap Tommy dan penerbit buku itu kerana mendakwa mereka memfitnahnya apabila mengaitkan beliau dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

    Najib berkata, dirinya dipaparkan dengan meluas dalam bab 42 dan bab lain buku berkenaan yang menyatakan beliau mengarahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Inspektor Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar untuk membunuh Altantuya dan mengelirukan rakyat mengenai kes itu bagi menutup perbuatannya.

    Susulan itu, Najib memohon perintah supaya defendan memadamkan kenyataan fitnah dalam buku itu dan perintah injunksi menghalang defendan atau ejen mereka daripada mengeluarkan kenyataan sama.

    Beliau turut menuntut permohonan maaf daripada kedua-dua defendan, aku janji untuk tidak menerbitkan kenyataan sama, ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    BH ONLINE


  • JIPS Bukit Aman tahan pegawai kanan polis bersekedudukan dengan wanita

    KUALA LUMPUR — Seorang pegawai kanan polis ditahan sepasukan anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman ketika bersama seorang wanita yang tidak mempunyai ikatan sah dengan dirinya di sebuah kediaman di Cheras di sini, semalam.

    Penahanan pegawai kanan yang bertugas di Perak itu dilakukan cawangan Risikan Operasi JIPS, Bukit Aman kira-kira jam 1.40 pagi.

    Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    Beliau berkata, siasatan masih dijalankan oleh JIPS.

    “Saya sahkan pegawai berkenaan ditahan bersama wanita yang tiada ikatan sah dengan dirinya.

    “Penahanan itu dibuat selepas kita (JIPS) menerima maklumat adanya aktiviti bersekedudukan berlaku membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

    BH ONLINE


  • Dua Datuk ditahan SPRM kes tuntutan palsu RM4.25j

    SHAH ALAM — Seorang pengarah operasi syarikat pemaju perumahan bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu projek perumahan di Temerloh, Pahang, bernilai RM4.25 juta.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Siasatan awal mendapati suspek mengemukakan tuntutan palsu melibatkan baucar bayaran dan sijil pembinaan 19 unit rumah berkembar sebuah projek perumahan di Temerloh sepanjang 2021 hingga 2023, namun pembinaan tidak pernah dilakukan.

    Sumber SPRM memberitahu, turut direman bagi tempoh sama pada hari ini ialah seorang pengarah syarikat lain yang juga bergelar Datuk untuk siasatan penglibatannya dalam kes berkenaan.

    Mereka ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada 7.05 malam tadi dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dengan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Dituduh buat amang seksual terhadap remaja perempuan, lelaki didakwa ke mahkamah

    KOTA BHARU — Seorang pegawai pemasaran kosmetik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel, di sini, Ogos tahun lalu.

    Tertuduh, Muhamad Ferrul Azieman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ketika kejadian di sebuah hotel di sini antara jam 3.58 pagi hingga 6 pagi.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh diwakili peguam, Nasrul Nazmi Nik Muhammad.

    Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon tertuduh diberi jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.

    Bagaimanapun, Nasrul Nazmi pula meminta jaminan minimum dikenakan kerana anak guamnya akan patuh dengan peraturan mahkamah dan tidak mengganggu mangsa memandangkan tertuduh tinggal di Gombak, Selangor.

    Mahkamah kemudian menawarkan RM15,000 jaminan dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Gombak setiap dua bulan, selain 14 November ditetapkan bagi sebutan semula kes.

    BH ONLINE


  • Dua pengikut Tuhan Harun terlepas tali gantung, diganti penjara 40 tahun

    PUTRAJAYA — Dua pengikut ‘Tuhan Harun’ yang membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2013 terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu kepada penjara 40 tahun.

    Permohonan Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, untuk semakan semula hukuman mati di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dibenarkan oleh panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Dalam keputusan sebulat suara itu, Tengku Maimun bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun.

    Beliau memerintahkan Shamsinar dikenakan 12 sebatan dan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Februari 2014 manakala Sumustapha hukuman pemenjaraan bermula 27 November 2013.

    Kedua-dua lelaki itu membuat permohonan semakan hukuman mati itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

    Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

    Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

    Sebelum ini, Sumustapha dan Shamsinar dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang pada 2016 selepas mereka didapati bersalah pada 2016 membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek.

    Ahmad Raffli, 49, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 10 November 2013.

    Kedua-dua mereka gagal selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 8 Februari 2018.

    Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai “Tuhan Harun’, juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan itu.

    Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos 2016 akibat masalah pernafasan.

    Pada 29 November 2018, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Sumustapha dan Shamsinar dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati.

    Ketika itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai barisan lima hakim memutuskan bahawa rayuan kedua-dua mereka tidak mempunyai merit.

    BH ONLINE