Category: MALAYSIA

  • Dua pengikut Tuhan Harun terlepas tali gantung, diganti penjara 40 tahun

    PUTRAJAYA — Dua pengikut ‘Tuhan Harun’ yang membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2013 terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu kepada penjara 40 tahun.

    Permohonan Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, untuk semakan semula hukuman mati di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dibenarkan oleh panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Dalam keputusan sebulat suara itu, Tengku Maimun bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun.

    Beliau memerintahkan Shamsinar dikenakan 12 sebatan dan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Februari 2014 manakala Sumustapha hukuman pemenjaraan bermula 27 November 2013.

    Kedua-dua lelaki itu membuat permohonan semakan hukuman mati itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

    Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

    Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

    Sebelum ini, Sumustapha dan Shamsinar dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang pada 2016 selepas mereka didapati bersalah pada 2016 membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek.

    Ahmad Raffli, 49, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 10 November 2013.

    Kedua-dua mereka gagal selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 8 Februari 2018.

    Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai “Tuhan Harun’, juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan itu.

    Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos 2016 akibat masalah pernafasan.

    Pada 29 November 2018, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Sumustapha dan Shamsinar dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati.

    Ketika itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai barisan lima hakim memutuskan bahawa rayuan kedua-dua mereka tidak mempunyai merit.

    BH ONLINE


  • Anak Penolong Pengarang Berita BH antara 3 pelajar UiTM Dungun maut, 1 parah dirempuh SUV

    DUNGUN — Tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah SUV di hadapan universiti itu di Kampung Sura Hujung, di sini, malam tadi.

    Dalam kemalangan jam 7.20 malam, empat pelajar yang menunggang dua motosikal dirempuh SUV jenis Honda CRV dipandu seorang wanita.

    Semua mangsa menunggang dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Y15.

    Mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, pelajar jurusan Ijazah Perhotelan, manakala Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 20, adalah pelajar Ijazah Perakaunan.

    Rakan mereka yang parah ialah Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, sedang dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

    Ku Adib Aizab adalah anak kepada Penolong Pengarang Berita BH, Hafizah Iszahanid manakala bapanya Ku Azmi Saad adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

    Ketika nahas menimpa anak mereka, pasangan itu dalam penerbangan ke Makkah untuk mengerjakan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan kakitangan dan ahli keluarga.

    Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari KLIA jam 5.35 petang semalam dan sampai Jeddah jam 9.15 malam tadi (waktu tempatan).

    Ketika berita ini ditulis, pasangan itu dalam penerbangan pulang semula ke Kuala Lumpur. Mereka berlepas dari Jeddah jam 1.55 pagi waktu tempatan.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

    Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan baru selesai makan malam di sebuah kedai makan berhampiran universiti berkenaan.

    Kejadian dipercayai berlaku apabila Honda CRV dipandu wanita itu merempuh bahagian belakang kedua-dua motosikal terbabit.

    Rempuhan berkenaan menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke longkang. CRV itu turut terbabas dan masuk ke longkang berhampiran.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.26 malam sebelum sepasukan 10 anggota dan dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, mayat seorang mangsa yang terjatuh ke longkang dibawa naik anggota bomba.

    “Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.

    “Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Dalam pada itu, Rektor UiTM Dungun menerusi Instagram menyebut tiga jenazah akan dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun jam 10 pagi ini, disolatkan di Masjid UiTM Dungun sebelum dibawa pulang ke Ampang, Sungai Buloh dan Muar untuk dikebumikan.

    Sementara itu, pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu malam tadi mengesahkan tiga pelajarnya meninggal dunia manakala seorang lagi parah dalam kemalangan.

    “Pihak universiti dukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar terbabit.

    “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat atas roh arwah pelajar dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga pelajar.

    “Pihak universiti juga menyediakan bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh keluarga,” kata kenyataan itu malam tadi.

    BH ONLINE


  • Remaja mandi di tali air bersama rakan, hilang dipercayai lemas

    KOTA BHARU — Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas mandi di pintu air Pangkal Kalong, Kok Lanas di sini, petang tadi.

    Mangsa, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13, mandi di tempat kejadian bersama tiga lagi rakan sebelum hilang dipercayai lemas.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Pegawai Kanan Bomba II (PBK II) Hamdam Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.09 petang tadi.

    Katanya, seramai sembilan anggota BBP Ketereh, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa dan dua anggota PPDA Machang bersama 14 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kok Lanas dan Ketereh menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa.

    Katanya, jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua pacuan empat roda digerakkan ke lokasi.

    Sehingga jam 7.30 malam, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari masih diteruskan meskipun dalam keadaan hujan dan cuaca gelap.

    “Kita sudah melakukan pencarian di permukaan dan melakukan selaman dan akan teruskan lagi pencarian.

    “Kedalaman sungai adalah dianggarkan enam meter,” katanya.

    BH ONLINE


  • Gadis 20 tahun hilang ketika keluar buang sampah depan rumah

    TEMERLOH — Seorang gadis 20 tahun disedari hilang di hadapan rumahnya di Taman Temerloh Jaya di sini pada 6 Oktober lalu jam 11.15 malam.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner, Mazlan Hassan berkata bapa gadis tersebut seorang pesara kerajaan melaporkan kehilangan anaknya pada 7 Oktober jam 3.15 pagi.

    “Ayah gadis itu memaklumkan anak perempuannya, Nurul Aliya Zulkifli telah keluar membuang sampah kira-kira lima meter di hadapan rumah.

    “Setelah agak lama bapanya mendapati anaknya tiada di hadapan rumah, dia mencari di hadapan rumah dan kawasan sekitar tetapi tidak bertemu anaknya,” katanya hari ini.

    Ketika disedari hilang, gadis itu memakai blaus putih belang biru dan seluar hitam dan turut memakai sandal berwarna hitam warna putih.

    Polis telah menjalankan pencarian sehingga sekarang dan masih belum menjumpai gadis berkenaan.

    “Gadis tersebut setinggi 160 sentimeter (cm) dan berat 45 kilogram (kg) dan agak kurus serta berkulit kuning langsat. Sesiapa yang ada maklumat gadis itu boleh hubungi balai polis berhampiran,” katanya.

    BH ONLINE


  • 7 ditahan kes gaduh, pukul kerana rebut tempat duduk di lapangan terbang

    KULAI — Polis menahan tujuh lelaki selepas disyaki terbabit memukul seorang lelaki lain di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee, berkata suspek berusia 25 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan sekitar Skudai dan Johor Bahru, kira-kira 8 hingga 12.30 tengah malam tadi.

    Siasatan awal mendapati kejadian berpunca selisih faham yang bermula hanya disebabkan perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

    “Kita berjaya membuat tangkapan selepas mengesan video dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘This Is Johor’ jam 9.15 malam tadi yang memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng di tepi jalan dengan memukul seorang lelaki lain.

    “Kita juga menerima laporan polis dibuat mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun selepas kejadian itu. Mangsa turut cedera ringan, luka calar dan bengkak.

    “Hasil siasatan, kejadian di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran LTAS jam 1.30 tengah hari semalam.

    “Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham kerana tegur-menegur antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ketika tangkapan suspek warga tempatan berkenaan, polis turut merampas dua kenderaan iaitu Honda Accord dan Mazda 6 serta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan dua batang rotan.

    “Semua suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini,” jelasnya.

    Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan lapan lelaki sedang memukul seorang lelaki lain menggunakan batang dipercayai kayu di tepi jalan.

    Turut kelihatan, mereka menendang mangsa yang berbaju dan berseluar pendek warna hitam itu berkali-kali.

    Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu dipercayai memperlahankan trafik memandangkan beberapa kereta dipercayai dinaiki suspek berhenti di jalan.

    BH ONLINE


  • Remaja dituduh rogol rakan sebaya selepas menyelinap masuk rumah mangsa

    MUAR — Seorang remaja berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol budak perempuan sebaya sejak Mei lalu selepas menyelinap masuk ke rumah keluarga mangsa.

    Tertuduh dihadapkan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

    Dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu di sebuah rumah di daerah ini, jam 9 pagi, 25 September lalu.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, remaja lelaki berkenaan dituduh melakukan jenayah itu terhadap mangsa sama pada jam 8.30 pagi pada Mei dan Jun tahun ini, dengan ketiga-tiga kejadian di tempat sama.

    Berdasarkan laporan dibuat bapa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 25 September lalu, kejadian ketika ahli keluarga remaja perempuan itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.

    Tertuduh dilaporkan memasuki rumah mangsa secara bersembunyi dan kemudian merogolnya sebelum perbuatan itu terbongkar apabila dia terserempak bapa remaja perempuan terbabit.

    Dia yang ditahan pada hari sama laporan polis dibuat, tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Mohd Rofaie.

    Remaja itu mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah memerintahkan ikat jamin RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 19 November depan untuk sebutan kes, serahan dokumen dan juga lantikan peguam.

    Tertuduh gagal membayar ikat jamin ditetapkan lalu dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

    BH ONLINE


  • Hukuman gantung pembunuh jutawan kosmetik, Sosilawati kekal

    PUTRAJAYA — Bekas peguam, N Pathmanabhan dan dua lagi kekal dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada 2010.

    Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim mahkamah persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersama Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais.

    Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun yang membacakan keputusan berkata panel sebulat suara menolak permohonan dan hukuman mati terhadap mereka dikekalkan.

    Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dibunuh dengan kejam bersama-sama tiga rakan yang lain di Morib, Selangor pada September 2010. Mayat dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

    Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan hukuman mati dikekalkan kepada dua pemohon iaitu Pathmanabhan, 55, dan T Thilaiyalagan, 33.

    “Permohonan ditolak, hukuman gantung dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

    Dua pemohon itu memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

    Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.

    Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, seorang lagi pemohon R Kathavarayan, 44, yang pada mulanya menfailkan permohonan semakan yang sama menarik balik permohonan itu hari ini.

    Justeru, hukuman mati terhadap bekas pekerja ladang itu kekal seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2017.

    Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Tetralina Ahmed Fauzi manakala peguam Manjeet Singh Dhillon mewakili Pathmanabhan serta Thilaiyalagan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.

    Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi semua perayu hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

    Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara jam 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

    Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, R Matan, 33, Thilaiyalagan dan Kathavarayan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

    Dua tahun kemudian, iaitu 16 Mac 2017, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan kekal ke tali gantung, selepas sekali lagi rayuan mereka ditolak Mahkamah Persekutuan.

    Bagaimanapun, Matan bernasib baik apabila rayuan pekerja ladang itu dibenarkan dan dia dilepas dan dibebaskan oleh lima panel hakim yang bersidang kerana kekurangan bukti berhubung kes pembunuhan itu.

    BH ONLINE


  • Peguam dituduh cederakan wanita ketika berebut parkir

    IPOH — Peguam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang wanita gara-gara berebut tempat letak kereta.

    Tertuduh, Goh Suan Poi, 72, didakwa di hadapan Majistret Evangelin Simon Silvaraj mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Wanita itu berdepan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ashvinder Kaur, 35, di kawasan parkir sebuah pasar raya di Ulu Kinta, di sini, pada jam 6.46 petang, 18 Februari lalu.

    Suan Poi yang diwakili peguam, Khairil Azwar Khalil, mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey menawarkan ikat jamin RM1,000.

    Khairil Azwar memohon ikat jamin rendah, mengambil kira tertuduh pernah menjadi guru bermula 1976 hingga 1997 sebelum bertukar kerjaya sebagai peguam pada 1998 hingga sekarang, selain memberi kerjasama baik kepada polis.

    Mahkamah kemudian memerintahkan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.

    BH ONLINE


  • Tragedi pulang dari sekolah

    NIBONG TEBAL — Seorang bapa bersama anak lelakinya maut selepas cedera parah dalam kemalangan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Transkrian, di sini, tengah hari tadi.

    Insiden kira-kira jam 1.30 tengah hari itu dikatakan berlaku ketika dua beranak itu yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

    Difahamkan, bapa berusia 49 tahun itu mengambil anak lelakinya berusia sembilan tahun dari sekolah sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki.

    Kedua-dua beranak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

    Terdahulu tular beberapa keping gambar di media sosial memaparkan kemalangan berkenaan.

    BH ONLINE


  • 6 warga China ditahan kes pecah rumah di Sabak Bernam

    SHAH ALAM — Tujuh individu, termasuk enam lelaki warga China ditahan dipercayai terbabit jenayah pecah rumah di sekitar Sabak Bernam sejak awal tahun ini.

    Suspek berusia 30 hingga 40-an ditahan polis dalam serbuan berasingan bermula kelmarin hingga semalam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua suspek ditahan di hotel tiga bintang di Kuala Lumpur dan sebuah kondominium di Subang Jaya.

    Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit lapan kes pecah rumah dan modus operandi mereka dengan menyewa kereta jenis Perodua Bezza dan Alza untuk melakukan jenayah.

    “Mereka menyasarkan rumah dua tingkat ketika tiada penghuni dengan melarikan barangan berharga, termasuk yang disimpan dalam peti besi keselamatan.

    “Enam warga China terbabit didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan siasatan masih dilakukan untuk mengenal pasti sejak bila mereka memasuki negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

    Hussein berkata, siasatan mendapati suspek warga tempatan berperanan dalam mengenal pasti rumah yang ingin dipecah masuk serta melupuskan barangan curi.

    “Semakan turut mendapati kumpulan ini juga terbabit dalam tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Perak dan Pahang,” katanya.

    Beliau berkata, kes itu yang pertama sejak dua tahun lalu, membabitkan penjenayah warga China berbanding sebelum ini lebih kepada warga Latin.

    “Turut dirampas dalam serbuan hasil curi dan peralatan digunakan. Semua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

    BH ONLINE


  • Parti dalam balai: Empat termasuk Inspektor ditukar serta-merta – Ketua Polis Selangor

    SHAH ALAM — Tiga anggota dan seorang pegawai berpangkat Inspektor sebuah balai polis di Shah Alam dipindah keluar dari Selangor selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan premis kerajaan dengan menganjurkan ‘parti persendirian’ pada awal pagi 28 September lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua anggota itu dipindahkan serta-merta susulan tindakan seorang anggota berpangkat Koperal membawa masuk empat orang awam, termasuk tiga wanita dalam premis pejabat mereka.

    “Dalam insiden ‘so called’ parti itu, kita jumpa anggota berpangkat Koperal membawa masuk orang awam termasuk tiga wanita ke pejabat mereka dengan adanya muzik serta sedikit makanan.

    “Ini jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) iaitu mana-mana orang awam tidak boleh di bawa ke premis pejabat tanpa ada urusan rasmi. Itu adalah tindakan dalaman yang mana semua mereka diambil tindakan keluar terus dari Selangor (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor).

    “Bukan saja dia (Koperal), tiga lagi anggota yang sepatutnya menjadi penyelia iaitu seorang berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar dan Inspektor turut ditukar keluar dari Selangor kerana tindakan menyalahguna premis kerajaan,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini, hari ini.

    Hussein menjelaskan, tindakan dilakukan mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993.

    “Semua mereka dipindahkan ke Johor dan Kelantan serta-merta,” katanya.

    Dalam pada itu, Hussein menegaskan, tangkapan tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang tidak membabitkan ketua balai sebaliknya ketiga-tiga individu itu adalah anggota berpangkat rendah.

    “Ketiga-tiga anggota ini juga ditukar ke bahagian pengurusan serta-merta dan akan diambil tuduhan di bawah jenayah dan tatatertib,” katanya.

    BH ONLINE


  • Penganggur tak mengaku rogol junior sekolah menengah

    MUAR — Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol junior sekolah menengah di sebuah rumah di Tangkak, bulan lalu.

    Tertuduh, Kelvin Thor Wei Boon, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

    Mengikut pertuduhan, dia yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa merogol junior berusia 15 tahun di rumahnya di Tangkak, pada 1.45 tengah hari, 21 September lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mengenali tertuduh sejak setahun lalu dan perhubungan itu berlarutan hingga kini.

    Tertuduh mengajak mangsa keluar sebelum membawanya pulang ke rumah dan melakukan perbuatan itu.

    Namun, perbuatan itu, terbongkar apabila ibu mangsa memeriksa telefon bimbit dan mendapati anak perempuannya dirogol.

    Susulan itu, mangsa ditemani ahli keluarga dibawa ke hospital untuk pemeriksaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati, Tangkak, 29 September lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan kes ini serius kerana membabitkan mangsa bawah umur.

    Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah kemudian menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam tertuduh.

    BH ONLINE


  • Kereta penuh muatan beras siam terbabas dalam tali air

    TUMPAT — Sebuah kereta yang sarat dengan muatan beras siam dianggarkan seberat 300 kilogram (kg) terbabas dalam tali air di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, jam 12 tengah hari tadi.

    Difahamkan Perodua Myvi dinaiki dua lelaki ingin membelok masuk ke lorong sebelum terbabas.

    Menurut saksi yang ingin dikenali sebagai Mira, 30-an, dia terdengar bunyi brek yang agak kuat sebelum ternampak kereta itu terjunam ke dalam tali air.

    “Tidak lama kemudian dua lelaki dalam keadaan basah kuyup naik ke tebing dan orang ramai mulai mengerumuni tempat kejadian.

    “Nasib baik kedua-dua mereka selamat kerana sebelum ini sudah beberapa kali kejadian sama (kenderaan terbabas) berlaku dan ada membabitkan kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Difahamkan beras siam dimuatkan di tempat duduk penumpang belakang kenderaan itu.

    Usaha menaikkan kereta yang mengalami kerosakan teruk itu ke tebing memakan masa hampir satu jam.

    BH ONLINE


  • Dua wanita Palestin buat kecoh di Wisma Transit akan dihantar pulang segera – Duta

    KUALA LUMPUR — Dua wanita Palestin yang membuat kekecohan dan merosakkan harta benda awam di Wisma Transit seperti yang tular dalam media sosial akan dihantar pulang ke Gaza dalam masa terdekat.

    Mereka berdua adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang di bawa ke negara ini pada 16 Ogos untuk menerima rawatan perubatan berikutan serangan Israel ke atas Gaza.

    Wanita itu dikesan berkelakuan tidak terkawal di Wisma Transit, lokasi penduduk Palestin yang cedera dan keluarga mereka ditempatkan ketika tempoh rawatan perubatan diberikan.

    Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mengesahkan kepada New Straits Times wanita dalam video itu akan dihantar pulang ke Gaza.

    Katanya, ia diputuskan selepas pertemuannya dengan Kementerian Pertahanan dan wakil Ops Ihsan hari ini bagi membincangkan insiden itu.

    “Kami bersetuju bahawa ini adalah insiden terpencil. Ia tidak mewakili rakyat Palestin tetapi tindakan itu sangat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

    Walid turut memberi amaran kepada rakyat Palestin di Malaysia yang lain supaya menjaga kelakuan mereka.

    “Bagi mereka di sini, jika mereka tidak berpuas hati, mereka boleh kembali ke tempat asal mereka. Menghantar wanita ini pulang harus menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya.

    Katanya, kerajaan Palestin sangat menghargai bantuan yang dihulurkan kepada mereka oleh Malaysia dan rakyatnya.

    “Rakyat Palestin yang cedera dan saudara mereka di sini harus menghargai apa yang kerajaan Malaysia lakukan untuk membantu mereka.

    ” Semasa mereka berada di sini, mereka mesti menghormati undang-undang tuan rumah. Mereka juga harus menghargai peluang yang diberikan kepada mereka, berbanding ribuan lain yang masih menderita di tanah air di Gaza. Mereka di sana tidak mempunyai bantuan seperti ini,” katanya.

    Walid turut mengecam kejadian itu malah memohon maaf bagi pihak masyarakat Palestin.

    Katanya, kejadian itu juga diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak di media sosial namun berjaya diselesaikan serta ditangani pada hari yang sama.

    Duta itu juga meminta rakyat Malaysia memahami perjuangan emosi dan tekanan yang dialami oleh rakyat Palestin.

    “Kami meminta rakyat Malaysia memahami bahawa mereka ini melalui kesukaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan tekanan dari segi emosi dan fizikal akibat tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

    “Saya tidak akan membenarkan sesiapa menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Palestin. Kami akan sentiasa menghargai apa juga usaha yang dilakukan Malaysia untuk rakyat Palestin,” katanya.

    Pada 4 Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Perhimpunan Solidariti Palestin di Bukit Jalil, mengumumkan Malaysia memutuskan untuk membawa orang awam Palestin yang cedera mendapatkan rawatan di Malaysia.

    Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara TUDM Subang.

    Rakyat Palestin yang dibawa itu termasuklah 41 lelaki, wanita dan kanak-kanak yang cedera, termasuklah bayi seawal usia lapan bulan, serta saudara-mara mereka.

    BH ONLINE


  • Warga emas maut dihempap pokok

    RANAU — Seorang lelaki warga emas maut selepas dihempap pokok di kebunnya di Kampung Tarawas, di sini, hari ini.

    Kejadian berlaku ketika Yambun Godsung, 67, dikatakan memotong pokok di kebun, dengan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib, berkata sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk membantu sebaik menerima panggilan jam 1.16 tengah hari.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    BH ONLINE


  • Wanita maut kereta terbabas elak bangkai lembu

    KUALA KRAI — Seorang suri rumah maut selepas kenderaan dinaiki bersama suami dan anak perempuan terbabas ketika cuba mengelak bangkai lembu di Kilometer 57 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, pagi tadi.

    Dalam kejadian jam 6.57 pagi itu, Norma Mat, 55, yang tersepit di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, berkata pasangan suami isteri berkenaan bersama anak perempuan mereka berusia 24 tahun yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, dari arah Ketereh ke universiti berkenaan.

    Beliau berkata, kereta Perodua Bezza dipandu suami mangsa berusia 61 tahun, dikatakan cuba mengelak bangkai lembu di tengah jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

    “Kenderaan itu kemudian terbalik lalu masuk ke longkang.

    “Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Suami mangsa cedera di dada manakala anak pasangan itu cedera di kaki,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk bedah siasat manakala suami dan anaknya turut dirawat di hospital sama.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Polis turut meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurin Farisha Mohd Adam di talian 01129286619,” katanya.

    BH ONLINE


  • Didakwa terima suapan RM30,000, penjaga jentera MOSTI direman 6 hari

    GEORGETOWN — Penjaga jentera di sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) direman enam hari bagi membantu siAsatan kes suapan bernilai RM30,000.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Azlan Basri bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Terdahulu, suspek yang berkhidmat sebagai penjaga jentera di institusi penyelidikan dan pembangunan sumber biologi semula jadi itu tiba ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

    Berdasarkan maklumat, suspek ditahan di rumahnya dalam satu operasi malam tadi.

    Dia disyaki menerima wang sogokan bernilai RM30,000 sebagai balasan bagi membantu kontraktor mendapatkan kerja sivil di agensi berkenaan.

    Beberapa kenderaan mewah juga disita dalam operasi itu iaitu kereta jenis Mustang dan dua motosikal berkuasa besar.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

    BH ONLINE


  • Anggota tentera maut motosikal bertembung kereta

    KLUANG — Seorang anggota tentera maut kira-kira tujuh jam selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Kluang-Nyior, di sini malam tadi.

    Yuskhairi Zailani, 37, yang parah bahagian kaki, badan dan kepala, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), jam 3.30 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata nahas jam 8.07 malam itu dilaporkan kepada polis kira-kira dua jam kemudian oleh pemandu kereta terbabit, mekanik berusia 37 tahun.

    “Mekanik berkenaan datang buat laporan polis mendakwa kemalangan jam lebih kurang 8.07 malam membabitkan Honda Civic dipandunya dengan Yamaha Ego LC.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dari arah Nyior menghala ke bandar Kluang, manakala mangsa dari arah bertentangan.

    “Sampai di tempat kejadian, kereta memotong sebuah motosikal di kawasan garisan berkembar lalu bertembung motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, lelaki yang memandu kereta turut cedera ringan di bahagian muka, tangan dan kaki, mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, di sini, manakala anggota tentera itu dibawa ke HEBHK dengan ambulans.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam lebih kurang 3.30 pagi tadi,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    BH ONLINE


  • Pegawai bank didakwa hantar mesej berbaur lucah kepada pekerja wanita

    IPOH — Seorang pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menghantar pesanan berbaur lucah kepada seorang pekerja wanita di institusi kewangan itu, tiga tahun lalu.

    Tertuduh, Rosman Jamaluddin, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S Punitha.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghantar mesej WhatsApp yang berbaur lucah kepada mangsa berusia 34 tahun dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan wanita itu, di sebuah premis di Ipoh Garden East, di sini, pada jam 10.52 malam 20 Mei 2021.

    Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama pada jam 12.08 tengah malam 18 Ogos 2021.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria, menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

    Namun peguam, Khairil Azwar Khalil yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan sakit tulang belakang (slipped disc), selain perlu menanggung seorang isteri, empat anak masih belajar serta ibu.

    Di samping itu, Khairil Azwar turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang kes berkenaan dibicarakan di luar mahkamah melalui media sosial sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah.

    Beliau berkata, tindakan pihak tertentu membicarakan kes itu dalam media sosial menyebabkan anak guamnya berdepan buli siber sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri dan diberikan cuti.

    Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

    Mahkamah turut menasihati pihak pendakwaan serta polis supaya memastikan tiada komen prejudis terhadap kes itu dalam media sosial.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November depan.

    BH ONLINE


  • Lans koperal didakwa peras wanita RM500

    SEREMBAN — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memeras seorang wanita berjumlah RM500 bagi mengelak mangsa ditangkap pada Oktober tahun lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Ahmad Muaz Md Subri, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita tempatan berusia 31 tahun apabila memaklumkan dia akan ditangkap polis.

    Tertuduh kemudian meminta wanita itu menyerahkan wang berjumlah RM500 kepadanya di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Nilai, kira-kira jam 9.30 malam, 17 Oktober 2023 jika tidak mahu ditangkap.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Norshafatihah Nor Azmi mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abdull Aziz yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah kerana tertuduh menanggung isteri dan enam anak.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Oktober ini.

    BH ONLINE