KANGAR — Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang hampir setahun lalu di Perlis.
Lelaki yang dikenali sebagai Mohd Amir Ishak, 29, dari Kampung Serdang, Simpang Empat, Kangar dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 31 Ogos tahun lalu dan gagal dihubungi hingga kini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata ini adalah susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa berusia 57 tahun pada 20 Mei lalu.
“Pada 20 Mei lalu sekitar jam 4.30 petang, kita menerima laporan daripada seorang wanita berusia 57 tahun yang menyatakan bahawa anak lelakinya hilang.
“Lelaki itu dikenali sebagai Mohd Amir Ishak yang berusia 29 tahun dan dia dilaporkan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi hingga kini,” katanya dalam kenyataan.
Ibu lelaki itu mendakwa kali terakhir melihat anaknya itu keluar dari kediaman mereka pada 31 Ogos tahun lalu sekitar jam 7 pagi.
“Ketika keluar dari rumah, Mohd Amir membawa sepasang kemeja T berwarna kelabu dan sepasang seluar denim dan menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna biru yang sering digunakannya.
“Motosikal itu pula menggunakan plat pendaftaran KBT 4582,” katanya.
Yusharifuddin berkata, hebahan dan bantuan orang ramai diperlukan setelah pihaknya gagal mengesan keberadaan lelaki di Perlis.
“Kita memohon agar sekiranya orang ramai yang mengesan, melihat atau mengenaliMohd Amir ini dapat tampil memberi maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan menghubungi talian ‘hotline’ IPD Kangar di talian 04-987 2222.
Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Y Thilip di talian 019-547 1323.
BH ONLINE