KUALA LUMPUR – Kadar dividen 6.30 peratus yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk Simpanan Shariah bagi 2024 dengan agihan berjumlah RM10.19 bilion, menjadi bukti pelaburan patuh syariah itu mempunyai potensi kukuh dalam menghasilkan pulangan.
Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Dr Barjoyai Bardai, berkata ia adalah satu senario menarik kerana ramai menganggap pelaburan patuh syariah itu lebih sukar diuruskan dan memberi pulangan lebih rendah.
“Tahun ini, KWSP membuktikan pelaburan patuh syariah mempunyai potensi yang sama besar dalam menghasilkan pulangan. Ini boleh menjadi petunjuk kepada pasaran global, iaitu pelaburan berasaskan syariah juga menarik dan mungkin mencapai prestasi lebih tinggi pada masa depan.
“Ini menandakan permulaan era baharu bagi peluang pelaburan,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen lebih tinggi, iaitu sebanyak 6.30 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024, membabitkan jumlah agihan sebanyak RM73.24 bilion.
Prestasi itu dikaitkan dengan pemulihan pasaran global serta domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan pengurusan portfolio yang baik.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding RM66.99 bilion pada 2023.
Menyuarakan pendapat sama, Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin dari Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berpendapat dividen yang sama rata itu akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap dana syariah KWSP.
Selain dapat menarik lebih ramai ahli untuk memilih simpanan patuh syariah, ia juga akan menggalakkan pengagihan lebih besar ke dalam sektor patuh syariah yang berprestasi tinggi seperti teknologi, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh baharu.
Sebagai tindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk produk kewangan Islam, KWSP boleh mengembangkan asas aset patuh syariahnya.
“Dividen sama rata ini mungkin merupakan langkah pertama ke arah merapatkan jurang antara kewangan Islam dengan konvensional, sekali gus mengukuhkan idea bahawa pelaburan beretika boleh menghasilkan pulangan yang kompetitif,” katanya.
Muhammad Irwan juga menekankan ia berkemungkinan akan menggalakkan lebih ramai pelabur institusi untuk mempertimbangkan pelaburan patuh syariah, seterusnya merangsang pertumbuhan dalam sektor kewangan Islam di Malaysia.
Beliau berkata, produk kewangan Islam dilindungi daripada risiko berlebihan serta aktiviti spekulatif, dan secara sejarahnya menunjukkan daya tahan ketika krisis kewangan.
Kebergantungannya pada pelaburan berasaskan aset, mekanisme perkongsian risiko dan larangan riba (faedah) membantu mengurangkan turun naik, selain menjadikannya lebih stabil dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
“Kestabilan ini mungkin menyumbang kepada pulangan yang lebih kukuh untuk portfolio patuh syariah KWSP, khususnya pada waktu ketidaktentuan pasaran global.
“Sehubungan itu, sifat pelaburan Islam yang mengurangkan risiko, mungkin menjadi faktor utama di sebalik kadar dividen yang sama rata untuk akaun syariah dan konvensional KWSP pada 2024,” katanya.
BH ONLINE