PUTRAJAYA — “Saya menafikan terbabit dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti yang dilaporkan media semalam,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Beliau menerusi kenyataan dalam Facebook mendakwa, maklumat berkenaan dikutip daripada media picisan di Indonesia.
Sehubungan itu, beliau sudah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman semalam berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang cuba mengaitkan dengan fitnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi diri saya.”
“Terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin. Alhamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang negara,” katanya yang ditulis di Facebooknya.
Semalam, MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket itu adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.
Katanya, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.
BH ONLINE