IPOH — Dua individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak dan mencederakan tiga sekeluarga dan dua kawan mangsa, dua minggu lalu.

Tertuduh, Alson Ik Kai Jun, 20, dan Ling Siaw Hock, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dua lagi yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan dengan mengambil dua telefon bimbit, dua kad pengenalan milik Tou Siow Lung, 21, dan Wong Swee Chon, 53, serta wang tunai RM5,000 di dalam sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar, dalam daerah Manjung, pada 12.30 tengah malam, 8 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan sama, mereka juga didakwa semasa melakukan rompakan terbabit dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Tou Siow Lung, Wong Swee Chon serta tiga individu lain iaitu Emilie Yip Phooi San, 29, Keng Zhen Wei, 23, dan Loi Woon Ye, 34.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.

BH ONLINE

LATEST POSTS