LIPIS – Dua maut manakala enam lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Chegar Perah, jam 5.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata kereta dipandu lelaki berusia 45 tahun bersama tujuh ahli keluarga dari Klang dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu untuk menziarah keluarga.
Katanya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Roslawati Mat Daud, 50, dan seorang kanak-kanak lelaki, Aqif Azfar Azman, 6.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar belakang lori yang berhenti di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ismail berkata, pemandu lori berusia 33 tahun bersama kelindannya berhenti di tepi jalan untuk membuang air dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Melaka ke Ketereh untuk menghantar perabot.
Kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu kereta berusia 45 tahun bersama lima ahli keluarga lain dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan,” katanya.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.
BH ONLINE