JERANTUT — Seorang bapa dan anaknya maut, manakala isteri dan seorang lagi anak pasangan terbabit cedera, selepas motosikal dinaiki empat beranak itu terbabas dalam kemalangan kira-kira 500 meter dari rumah mereka, malam tadi.
Tukang rumah, Muhamad Isyam Abdullah Sani, 43 dan anaknya, Muhammad Aisy Afnan, 6, mati di lokasi, manakala isterinya, Munirah Mahmood, 28 dan Muhammad Umar Affan, 4, cedera.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Suprintendan Zukri Muhammad, berkata kejadian berlaku pada kira kira jam 8.30 malam di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Temerloh, berhampiran Simpang Bukit Ketupat dekat sini.
Beliau berkata, ketika kejadian empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari rumah ibu mentua ke kediaman sewa mereka di Taman Bukit Ketupat.
“Siasatan awal, mendapati kejadian berlaku ketika Muhamad Isyam bersama isterinya, Munirah dan dua anak mereka, dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Temerloh.
“Apabila sampai di lokasi, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang lampu jalan dan menyebabkan motosikalnya remuk di bahagian hadapan.” katanya.
Zukri berkata, akibat kemalangan itu, penunggang bersama anaknya berusia 6 tahun maut di tempat kejadian, manakala isteri dan seorang lagi anak mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, punca kemalangan dipercayai berlaku akibat mangsa yang gagal mengawal dengan baik motosikal yang ditunggangnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BH ONLINE