PORT DICKSON — Kegembiraan enam remaja yang dalam perjalanan untuk bersiar-siar di Seremban, berakhir tragedi apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah jengkaut dekat lampu isyarat berhampiran Kampung Gelam di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata kemalangan itu berlaku pada jam 1.45 pagi tadi mengakibatkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian.
“Siasatan awal pihak polis mendapati, kereta itu dipandu pemuda berusia 24 tahun sambil membawa lima remaja berusia dari 16 tahun hingga 19 tahun dari arah Port Dickson menghala ke Seremban.
“Pemandu kereta berusia 24 tahun dan seorang gadis penuntut kolej berusia 18 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa anggota badan.
Semua penumpang lain hanya cedera ringan, manakala pemandu jengkaut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila ketika di tempat kejadian, pemandu kereta cuba mengelak kon lalu terbabas.
“Akibatnya kereta mereka merempuh sebuah jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah.
“Hasil siasatan juga mendapati, punca kemalangan, dipercayai pemandu itu gagal mengawal kenderaan lalu merempuh jengkaut yang sedang bekerja menyebabkan kereta mangsa remuk teruk,” ujarnya.
Aidi Sham berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.
“Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06-6472222,” katanya.
BH ONLINE