SHAH ALAM — Dua pekerja pembinaan warga Bangladesh maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah dan konkrit longkang di tapak pembinaan Elmina Ridge, Seksyen U15, hari ini.
Kejadian jam 10 pagi ketika kedua-duanya sedang melakukan kerja-kerja pembinaan longkang pada kedalaman 0.3 meter di kawasan perumahan terbabit.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan jam 10.29 pagi dan sembilan anggota berserta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian.
Pemeriksaan mendapati mangsa tertimbus dalam runtuhan tanah dan pembetung konkrit jenis ‘U’ ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja pembinaan longkang.
“Anggota bomba yang melakukan pencarian berjaya membawa keluar mangsa pertama pada 11.12 pagi sebelum seorang lagi kira-kira 20 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
BH ONLINE – BERNAMA