JERANTUT – Dua nyawa remaja melayang apabila motosikal dinaiki mereka merempuh treler di Kilometer 1, Jalan Jerantut–Benta, di sini, malam tadi.
Kedua-dua mangsa, Adam Syahnizam Abdul Satar dan Muhammad Aiman Hakim Mohd Khairul Rusdy, masing-masing berusia 18 tahun, disahkan maut dalam kejadian jam 11.10 malam itu.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata kejadian berlaku apabila treler tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Benta menuju ke Bandar Jerantut dikatakan gagal mengelak motosikal yang secara tiba-tiba keluar dari arah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal, Adam Syahnizam, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang, Muhammad Aiman Hakim, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Jerantut,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk bedah siasat.
“Pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing ke atasnya didapati negatif dadah,” katanya.
Beliau juga berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zukri juga meminta saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut untuk membantu siasatan.
BH ONLINE