KOTA KINABALU — Dua individu rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, identiti kedua-dua mangsa di dalam kereta Perodua Axia yang musnah terbakar masih belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dibantu BBP Putatan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia terbakar sepenuhnya berpunca daripada kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

“Tiga kenderaan terbabit adalah Perodua Axia (terbakar), Perodua Viva dan pikap jenis Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dari jentera bomba dan terkawal pada jam 2.58 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua mangsa rentung di dalam Perodua Axia itu. Kedua-duanya kemudian

dikeluarkan oleh anggota bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ordine berkata, pemandu Perodua Viva, lelaki berusia 34 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 22 tahun hanya cedera ringan.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan jam 4.40 pagi,” katanya.

BH ONLINE