LIPIS — Dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di KM 15 Jalan Lipis-Jerantut, berdekatan Kampung Jeram Bungor, dekat sini 2.30 petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Nurshida Md Najib, 38, dari Felda Chini 4, Pekan yang memandu kereta dan penumpang kereta, Nurulfarhana Yahaya, 31, beralamat di Jerantut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang wanita Melayu bersama seorang penumpang wanita dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut, Lipis menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis untuk urusan kerja.
Beliau berkata lori dipandu oleh seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari Gua Musang untuk ke Kampung Gemunchor untuk mengambil tayar.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya.
Pemandu lori berusia 31 tahun mengalami kecederaan pada rusuk sebelah kiri dan kelindan berusia 33 tahun juga cedera dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di nombor 09-3121999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
BH ONLINE