MIAMI — Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh ketika Ribut Tropika Debby membasahi Florida pada Isnin, mengancam negeri tenggara AS dengan hujan lebat dan banjir besar.
Seorang budak lelaki berusia 13 tahun maut apabila sebatang pokok ditiup ke rumah bergerak di Levy County, kata pejabat sherif di sana, selepas Debby mendarat di Pantai Teluk Florida pada awal Isnin sebagai taufan Kategori Satu.
Pihak berkuasa berkata seorang pemandu trak maut selepas kenderaan 18 rodanya terjunam ke dalam terusan di Hillsborough County, manakala seorang wanita berusia 38 tahun dan budak lelaki berusia 12 tahun maut dalam kemalangan kereta di Dixie County.
Ribut itu dijangka bergerak ke Georgia semalaman, sebelum bergerak ke luar pesisir dan menghampiri pantai Carolina Selatan pada Khamis, menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC).
“Ini adalah tahap empat daripada empat risiko untuk hujan yang berlebihan,” kata Michael Brennan, pengarah NHC, kepada pemberita.
“Ini akan mengakibatkan kejadian hujan ekstrem yang berpanjangan dengan potensi banjir besar merentasi bahagian pantai Georgia, Carolina Selatan, malah menjangkau ke Carolina Utara,” tambahnya.
Gabenor Florida Ron DeSantis berkata bahawa kira-kira 250,000 penduduk di negerinya terputus bekalan elektrik.
“Tolong berhati-hati apabila anda keluar,” katanya, sambil menambah bahawa angin Debby tidak begitu merosakkan seperti taufan sebelumnya yang melanda Florida.
AN – AFP