Syarikat penerbangan flydubai yang berpangkalan di UAE mencatatkan peningkatan bersejarah dalam operasi bermusimnya dengan membawa lebih empat juta penumpang antara Jun dan pertengahan September 2023, meningkat 30 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.
Menurut kenyataan syarikat itu, syarikat penerbangan itu mengendalikan lebih 32,000 penerbangan merentasi 120 destinasi di 52 negara, dengan Corfu di Greece dan Olbia di Sardinia sebagai dua tambahan terbaharu kepada laluan utama flydubai.
Ghaith Al-Ghaith, Ketua Pegawai Eksekutif di flydubai, berkata mereka terus mencipta aliran perdagangan dan pelancongan bebas dengan menawarkan produk yang tepat pada masa sesuai, menjadikan perjalanan boleh diakses ke pasaran baharu dan sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan.
“Dengan berbuat demikian, kami telah membolehkan lebih empat juta penumpang melakukan perjalanan pada musim panas ini melalui hab penerbangan Dubai,” tambah Al-Ghaith.
Beliau seterusnya berkata mereka sangat gembira melihat pertumbuhan tahun ke tahun dalam permintaan di destinasi bermusim mereka, sambil menambah bahawa mereka telah mencatatkan peningkatan 70 peratus dalam bilangan penumpang ke Trabzon dan lebih daripada 40 peratus ke Bodrum pada musim panas ini.
“Kami percaya angka ini berpotensi lebih tinggi sekiranya pesawat yang kami tempah dihantar mengikut jadual. Ini akan membolehkan kami menambah lebih banyak kapasiti di beberapa laluan popular ini,” jelas Al-Ghaith.
Sumber - AN