KUALA LUMPUR — Genting Malaysia Berhad (Genting) diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, membayar ganti rugi RM800,000 kepada seorang warga China, selepas didapati bertanggungjawab secara tidak langsung terhadap kecuaian pekerjanya sehingga menyebabkan pembunuhan seorang tetamu hotel lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, membuat keputusan itu memihak kepada Wang Cuiling, yang memfailkan saman kecuaian terhadap Genting, First World Hotels & Resorts Sdn Bhd, dan Nurul Suhaida Dahlan berhubung kematian suaminya, Xie Ning, ketika menginap di hotel terbabit.
Nurul Suhaida pada ketika itu, adalah seorang pekerja hotel yang bekerja di bahagian pengemasan.
Berdasarkan penghakiman, Xie dilaporkan mendaftar masuk ke hotel di Genting Highlands sebaik tiba di negara ini pada 16 Mei 2019.
Mangsa memaklumkan kepada isterinya melalui aplikasi pesanan, bahawa dia melawat kasino di antara 7 Jun dan 11 Jun, pada mulanya kalah tetapi kemudian menjadi pemenang yang kerap.
Perbualan terakhir pasangan itu adalah pada 11 Jun apabila mangsa memaklumkan isterinya bahawa dia memenangi wang ketika berjudi.
Plaintif kemudian menghubungi rakannya yang berada di Genting Highlands untuk membantu mencari suaminya sebelum mangsa ditemui mati dalam biliknya terbaring di atas lantai bilik air.
Siasatan mendapati si mati diikat di seluruh badan dan bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian adalah sesak nafas.
Plaintif dimaklumkan oleh polis, bahawa ada dua suspek dalam kes itu – seorang warga Sri Lanka dan seorang warga Pakistan didakwa memasuki bilik si mati menggunakan kad kunci Suhaida untuk membuka pintu.
Plaintif mendakwa Suhaida cuai dalam membenarkan orang yang tidak dibenarkan masuk ke bilik si mati.
Dia juga mendakwa Genting dan hotel itu bertanggungjawab secara wakil atas kecuaian Suhaida dan atas kegagalan mereka menjalankan penjagaan yang munasabah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan si mati sebagai tetamu hotel.
Sementara itu, defendan berhujah bahawa plaintif gagal membuktikan bahawa Suhaida yang telah memberikan akses ke bilik si mati kepada kedua-dua suspek.
Mereka mendakwa tiada bukti dikemukakan bahawa kad akses Suhaida digunakan untuk mendapatkan akses ke bilik si mati kerana tiada saksi dipanggil memberi keterangan mengenai perbuatan ini.
Defendan juga mendakwa bahawa plaintif gagal mengemukakan sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian ketika perbicaraan.
Mereka mendakwa pegawai penyiasat polis turut memberi keterangan bahawa kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak di lorong bertentangan dengan bilik si mati telah kabur menyebabkan mereka yang berada di dalamnya tidak dapat dikenal pasti.
Pesuruhjaya Kehakiman dalam keputusannya, berkata hotel mempunyai kewajipan menjaga untuk memastikan bukan sahaja keselesaan si mati, tetapi yang lebih penting keselamatannya sebagai tetamu.
“Memang tidak dinafikan, arwah adalah tetamu di hotel… yang membayar. Dalam hal ini, sudah pasti ada kewajipan berhati-hati yang dikenakan ke atas penyedia penginapan yang menjalankan perniagaan ini untuk tujuan mengaut keuntungan.
“Suhaida, sebagai pembantu pengemas rumah yang bertanggungjawab menjaga kebersihan dan penyusunan bilik tetamu hanya perlu mengehadkan hak akses kepada dirinya sendiri dan bukannya pihak lain yang tidak dibenarkan.
“Bagi rakaman CCTV, saya dapati plaintif telah melepaskan bebannya untuk membuktikan kedua-dua kewujudan CCTV tersebut walaupun tidak diterbitkan dan peranan Suhaida dalam kejadian ini,” katanya dalam penghakimannya, yang dimuat naik pada laman web jabatan kehakiman semalam.
Mahkamah berkata terdapat bukti mencukupi untuk menunjukkan Suhaida terlibat dalam membenarkan akses tanpa kebenaran ke bilik si mati.
“Walaupun tiada rakaman CCTV, fakta ini tidak akan berubah kerana saya mampu menilai fakta berdasarkan bukti lain yang boleh dipercayai.
“Suhaida membenarkan seseorang yang tidak sepatutnya berada di bilik si mati masuk dua kali pada 10 Jun dan 12 Jun menggunakan kad akses kunci yang dikeluarkan atas kapasitinya sebagai pekerja,” katanya.
BH ONLINE