Bilangan pelancong tempatan dan asing yang mengunjungi tempat bersejarah di wilayah selatan Ghazni (di Afghanistan) dilaporkan meningkat.

Seorang pegawai jabatan penerangan dan kebudayaan wilayah, Mansoor Afghan, memberitahu Pajhwok Afghan News, kira-kira 15,000 pelancong melawat kawasan bersejarah di Ghazni pada 2022.

Mereka termasuk lebih daripada 100 warga asing.

Beliau berkata, pelancong tempatan adalah dari wilayah berbeza dan pelancong asing yang melawat wilayah itu adalah dari AS, Kanada, Jerman, Andorra, Kenya, Norway, Turki, Belanda, Poland, Itali, Macedonia, Sepanyol, Mesir, China, Perancis dan negara jiran.

Katanya, jumlah pelancong asing semakin meningkat setiap hari.

“Pelancong melawat monumen bersejarah Ghazni, muzium, taman negara, makam dan mercu tanda purba yang lain,” katanya seperti dipetik.

Menurutnya, baru-baru ini Charles dari Kenya, Omar Hamid dari Sepanyol dan Julian Bosch dari Jerman merupakan kumpulan pelancong asing mengunjungi tempat bersejarah di bandar Ghazni.

Mengenai kemudahan disediakan kepada pelancong, katanya semua kemudahan diperlukan telah disediakan kepada pelancong.

Menurutnya, keselamatan dipastikan sepenuhnya dan sesiapa sahaja boleh mengunjungi Ghazni bagi tujuan pelancongan.

Baryalai Gran, seorang pelawat dari wilayah Balkh utara berkata: “Ghazni mempunyai banyak tempat purba dan bersejarah seperti makam, monumen dan mercu tanda, yang patut dikunjungi berulang kali.”

Katanya, beribu-ribu artifak wujud di muzium Ghazni milik zaman pra-Islam dan pasca-Islam (Bactria, Kushan, Ghaznavi, Ghori, empayar Sassanid).

Artifak itu katanya, diperbuat daripada batu, logam, kulit, tanah liat, jubin dan tembaga dan sebahagian daripadanya berusia 2500 tahun.

Menurut penduduk tempatan, jumlah pelancong asing dan tempatan boleh meningkat jika kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan dan mempercepatkan kerja pembinaan semula.

Nazar Mohammad, seorang penduduk bandar Ghazni, memberitahu Pajhwok, kerajaan harus membaiki jalan raya yang musnah akibat perang dan harus melaksanakan projek pembangunan lain bagi menarik pelancong.

Katanya, pelancongan boleh meningkatkan ekonomi tempatan, yang akan memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat tempatan.

Dilaporkan, lebih daripada 200 monumen bersejarah, kawasan purba dan tempat hiburan wujud di Ghazni.