TAMPIN — Perjalanan pulang dua beranak ke rumah di Pulau Sebang tidak kesampaian apabila terbunuh selepas motosikal mereka bertembung sebuah kereta di Kilometer (KM) 12, Jalan Tampin- Gemas, di sini, pagi tadi.
Penunggang lelaki berusia 38 tahun dan pembonceng wanita yang juga ibunya berusia 72 tahun, disahkan maut di lokasi dalam kejadian jam 9 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Savy berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung motosikal ditunggang dua beranak itu.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan ketika pemandu kereta seorang mekanik berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan dari Pulau Sebang, di sini, ke Palong, Jempol.
“Apabila sampai di tempat kejadian dekat kawasan selekoh, kereta berkenaan difahamkan hilang kawalan lalu termasuk laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak itu,” katanya di sini, hari ini.
Amiruddien berkata penunggang dan ibunya disahkan meninggal ditempat kejadian akibat parah manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Katanya, dua beranak itu difahamkan dalam perjalanan pulang dari Gemencheh ke rumah mereka di Pulau Sebang.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tampin, di sini, untuk proses bedah siasat.
“Kertas siasatan dibuka mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu motokar ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Amiruddien meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk tampil ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aqwa di talian 013-9515011 atau 064431999.
BH ONLINE