BUKIT MERTAJAM – Hanya dengan satu panggilan telefon, seorang pesara kehilangan wang simpanan lebih RM764,000 dari akaun tanpa disedari.
Semuanya bermula sekitar Februari lalu apabila wanita berusia 73 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa sebagai pegawai polis dari Balai Polis Pahang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata mangsa dimaklumkan terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan beberapa kes jenayah lain.
“Suspek memberitahu mangsa akan ditangkap bagi kesalahan terbabit sebelum mendakwa boleh membantu memadamkan rekod kesalahan mangsa jika wanita itu memberi maklumat perbankan untuk semakan.
“Mangsa memberi butiran akaun bank miliknya sebelum menerima beberapa mesej pengesahan kata laluan sekali guna (OTP) dan mengesahkannya atas arahan suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, hari ini.
Helmi berkata, mangsa mula berasa curiga baru-baru ini apabila suspek masih menghubunginya lalu membuat semakan ke atas penyata bank miliknya.
“Mangsa terkejut selepas mendapati 59 transaksi pindahan wang ke enam bank berbeza dari Februari hingga April tanpa pengetahuannya, yang keseluruhan berjumlah RM764,511.17.
“Warga emas itu segera membuat laporan polis Isnin lalu bagi membolehkan siasatan dibuat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
BH ONLINE