JITRA — Hujan lebat lebih sejam melanda daerah ini malam tadi menyebabkan empat rumah di Kampung Muhibbah, di sini dilanda banjir kilat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, hujan lebat bermula jam 9.30 malam dan air mula memasuki rumah penduduk pada jam 11.20 malam.

Sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu, beliau berkata, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu bergegas ke lokasi untuk melakukan pemantauan dan penyelamatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, paras air dilaporkan naik setinggi 0.15 meter ke rumah penduduk berkenaan.

“Pemantauan terus dilakukan dan mendapati trend air semakin surut pada jam 2 pagi.

“Bagaimanapun keadaan masih terkawal dan anggota kami berada di lapangan dan masih melakukan pemantauan ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Adenin berkata, kejadian banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat serta sistem perparitan yang kecil dan tersumbat.

Beliau berkata, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sekitar kawasan pemantuan.

“Bagaimanapun penduduk di kawasan berhampiran sungai dinasihatkan supaya bersedia untuk berpindah sekiranya air naik mendadak ketika hujan lebat dan menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan,” katanya.

BH ONLINE