KOTA BHARU – Kerajaan negeri tidak seharusnya dipersalahkan berhubung peningkatan kes gangguan seksual membabitkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun, seperti dilaporkan media semalam.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, semua pihak, khususnya ibu bapa, perlu memainkan peranan masing-masing dalam menangani kes itu termasuk rogol dan sumbang mahram.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah melakukan pelbagai usaha untuk menangani masalah itu, termasuk menganjurkan program berteraskan Islam di sekolah, masjid dan surau di seluruh negeri.
“Bagaimanapun, isu ini tidak akan selesai jika hanya satu pihak berusaha mencari penyelesaian.
“Jangan salahkan orang lain jika anak-anak kita terbabit dalam aktiviti tidak sihat ini, kerana kerajaan negeri sudah melaksanakan tanggungjawabnya.
“Ibu bapa juga perlu menjalankan tugas mereka. Kita perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Semalam, media melaporkan jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun, dengan kebanyakan kes membabitkan hubungan atas dasar suka sama suka.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata 252 kes direkodkan sepanjang tahun 2024 berbanding 206 kes pada 2023, peningkatan 22.3 peratus.
Nassuruddin berkata, kerajaan Kelantan sentiasa membincangkan mengenai isu jenayah yang berlaku di negeri ini termasuk kes gangguan seksual kanak-kanak dan kes rogol.
Katanya, pelbagai program yang diadakan oleh pihak kerajaan negeri dan pihak lain termasuk ceramah di masjid untuk mengekang kejadian seperti itu.
“Namun, ibu bapa juga perlu mengambil berat mengenai anak-anak mereka untuk mengelak kejadian berkenaan di negeri ini. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak dan meminta mereka melaksanakan dengan sebaik mungkin serta jangan harapkan pihak guru untuk melaksanakannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata, pendirian itu bukan bermaksud kerajaan negeri bersikap lepas tangan, sebaliknya sentiasa membincangkan isu sosial dan mencari pendekatan terbaik dalam mendidik rakyat di negeri berkenaan.
Beliau berkata, gejala sosial termasuk kes rogol tidak hanya berlaku di Kelantan, namun kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan berusaha menanganinya.
“Kita harap ibu bapa lebih peka dan memainkan peranan lebih besar dalam mendidik anak-anak, memandangkan masa mereka lebih banyak dihabiskan di rumah.
“Ibu bapa wajib ambil tahu dan pantau pergerakan anak-anak,” katanya.
BH ONLINE