MELAKA — Jenazah guru yang dibunuh kejam, Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, diserahkan kepada keluarganya dalam keadaan tanpa kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata perkara itu telah pun diberitahu kepada waris sebelum proses tuntutan dibuat hari ini.
Mereka menerima seadanya dan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dan dikebumikan di Kelantan.
“Ada lagi bahagian (anggota badan) yang belum ditemui, jadi ia bukan dalam keadaan sempurna hanya bahagian yang ditemui di peringkat awal dan kedua sahaja diserahkan kepada waris. Keluarga pun sudah dapat menerima,” katanya ditemui pemberita di Hospital Melaka, hari ini.
Jelasnya, pada 31 Disember lalu mayat Allahyarham ditemui dengan keadaan badan tanpa kepala, kaki dan tangan, manakala kepala dan tulang jarinya ditemukan selepas tangkapan suspek pada 5 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Ashari berkata, ketika proses serahan, suami Allahyarham iaitu Mohd Yusof Mokhtar turut hadir dan dia bersama waris lain menerima baik penjelasan pihak Hospital Melaka mengenai keadaan jenazah.
“Seperti mana yang semua tahu, ada bahagian (anggota badan belum ditemui) lagi.
“Jadi (jenazah) bukanlah sempurna dan keluarga dapat terima apa yang diterangkan oleh doktor,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan dan pencarian beberapa lagi anggota badan Cikgu Istiqomah akan diteruskan walaupun suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini.
“Siasatan masih lagi berjalan dan jika kita dapat petunjuk baharu, kita akan teruskanlah bukan berhenti di sini,” katanya.
BH ONLINE