TUMPAT — Dua remaja lelaki maut termasuk seorang putus kaki kiri selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Pasir Pekan di sini, tengah malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi membabitkan penuntut Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Mohammad Ameer Haziq Noor Ariff Irwantoo dan Muhammad Aqil Zulaini, masing-masing berumur 18 tahun.
Difahamkan kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal berasingan dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan sebelum melakukan pusingan U dan terlanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.
Ibu saudara Mohammad Ameer Haziq iaitu Sharifah Ismail, 59, berkata, kali terakhir dia berjumpa anak saudaranya itu petang semalam dan sempat makan di rumahnya yang terletak tidak jauh dari kediaman keluarga Haziq.
“Keluarga Haziq menetap di Negeri Sembilan dan dia pula baru dua bulan belajar di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa dan tinggal di rumah keluarga di sini.
“Semalam dia memberitahu ingin ke lata hari ini bersama beberapa rakannya dan malam tadi dia keluar tapi saya tidak sedar sebelum mendapat tahu anak saudara saya itu terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tumpat, di sini, hari ini.
Sharifah berkata, dia segera ke lokasi kejadian dan tidak sanggup melihat jenazah anak saudaranya itu lebih lama namun diberitahu orang ramai bahawa mangsa sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah.
Katanya anak saudaranya kerap memuat naik hantaran berkaitan kematian dalam media sosial serta berkongsi beberapa doa kepada ibunya untuk diamalkan.
“Dia juga berpesan jika meninggal dunia suatu hari nanti, jangan biarkan jenazahnya terbuka aurat dan keluarga juga perlu sentiasa menziarah pusaranya.
“Haziq juga sentiasa mengirimkan beberapa doa kepada ibunya selain berpesan agar sering membacanya dan dia seperti sudah dapat merasakan ajalnya akan tiba.
“Pemergian Haziq sangat mengejut namun kami sekeluarga reda dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pauh Ganja, Pasir Pekan,” katanya.
BH ONLINE