KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kenyataan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai 2017 yang menuduhnya ‘Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty’ mungkin tiada kesan jika beliau penjual kacang putih.

“Jika saya penjual kacang putih di tepi jalan, tak siapa peduli, tetapi sebaliknya kenyataan Ahmad Zahid itu mencalarkan reputasi dan nama saya sebagai bekas Perdana Menteri dan pemimpin politik,

“Dia tidak sepatutnya menipu, kata-katanya diambil serius oleh orang awam. Saya di sini untuk membuktikan dia menipu sebagai ketua parti politik, dia (Ahmad Zahid) tidak sepatutnya menipu,” katanya ketika memberi keterangan sebagai plaintif dalam kes saman terhadap Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, sebagai ketua sebuah parti politik, apa yang dikatakan Ahmad Zahid itu diambil secara serius oleh orang awam.

“Orang awam tidak ada tempat untuk merujuk kenyataan Ahmad Zahid itu sama ada betul atau palsu, mereka mempercayainya kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti politik,” katanya

Ketika menjawab soal balas daripada peguam Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, Dr Mahathir berkata pada peringkat awal selepas video kenyataan Ahmad Zahid tular, beliau menganggapnya sebagai kenyataan politik dan tidak diambil serius oleh orang ramai.

“Tetapi selepas itu, saya dapati semakin ramai orang bertindak memberi komen mengenai kenyataannya. Kenyataan itu juga antara faktor kekalahan BERSATU pada pilihan raya pada 2018.

“Ketika menonton video itu, dia (Ahmad Zahid) menunjukkan satu imej yang didakwa kad pengenalan asal milik saya, dia tidak pernah menunjukkan gambar itu secara telus. Setakat sebuah imej, sesiapa saja boleh mengubahnya,” katanya.

Dr Mahathir yang memberi keterangan sebagai plaintif, berkata kenyataan Presiden UMNO itu menggambarkan seolah-olah beliau bukan Mahathir Mohamad.

Pada prosiding hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau mengemukakan saman fitnah terhadap Ahmad Zahid kerana kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu satu pembohongan.

Ketika disoal balas, Dr Mahathir beberapa kali menegaskan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ yang didakwa tertera pada kad pengenalan birunya, adalah tidak benar.

Pada prosiding itu, Mohd Shahrul Fazli turut mempertikaikan mengapa Dr Mahathir mengambil masa lima tahun untuk memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid.

Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai hak mengemukakan tindakan saman yang didakwa menghinanya kerana masyarakat masih mengingati isu dibangkitkan dan pernah dituturkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya individu dirujuk Ahmad Zahid dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkan beliau kepada rasa tidak puas hati dan dibenci masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong, malah kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoalkan dan diragui.

Katanya, kenyataan itu juga difahamkan beliau adalah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika memegang jawatan awam dan tidak layak menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong bersambung esok.

BH ONLINE