SHAH ALAM: Wanita berusia 42 dikenali sebagai Junaida Abdul Rahim yang dilaporkan hilang di Shah Alam sejak Jumaat lalu, ditemui selamat di Kuantan, lewat malam tadi.

Perkembangan itu disahkan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal, di sini, sebentar tadi.

“Ya betul… lewat malam tadi. Ahli keluarga maklum dia berada di Kuantan. Hari ni dia akan balik ke Shah Alam berjumpa dengan pegawai penyiasat untuk diambil keterangan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Iqbal mengesahkan Junaida yang keluar rumah ke tempat kerja sejak Jumaat lalu, tidak pulang dan kemudian gagal dapat dihubungi.

Selain kakak wanita itu, polis juga menerima laporan dari rakan sekerja dan rakan serumah berhubung kehilangannya.

Siasatan awal mendapati mangsa keluar bekerja kira-kira jam 11 pagi dari rumah sewanya di Seksyen 17 dengan menaiki Mitshubisi Triton.

Kenderaan itu kemudian ditemui di Jalan Ampang berhampiran Neu Suite Condominium tanpa Junaida.

Dalam pada itu, turut tular satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp dalam bahasa Inggeris, memaklumkan akan penemuan semula Junaida.

Mesej itu berbunyi: “Terima kasih kerana menghubungi dan menyatakan kebimbangan anda. Kami berasa lega dia selamat. Kami tidak boleh berkongsi butiran lanjut kerana menghormatinya semua pihak.

“Kami amat menghargai keprihatinan, doa dan sokongan anda pada masa ini. Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan”.

BH ONLINE