SEMPORNA — Seorang kakitangan Majlis Daerah Semporna dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan bersubahat menipu pemohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tagasan, dua tahun lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Norsidah Abdul Terasan, 49, didapati bersalah dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa bersubahat bersama seorang wanita, Salina Salih, 30, dengan menerima imbuhan RM4,300 hasil penipuan wanita terbabit ke atas salah seorang pemohon PPR terbabit.
Tertuduh juga, yang mana dalam pengetahuannya bahawa permohonan mendaftar serta kelulusan menduduki rumah kediaman PPR itu sebenarnya belum dibuka, selain pembayaran kelulusan permohonan hanya boleh dibuat di kaunter Hasil sahaja.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Pejabat Pos Daerah Semporna antara 15 Ogos hingga 29 Disember 2022.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan suami sakit dan menjadi penanggung tunggal keluarga termasuk menyara ibu dan bapa yang uzur serta mempunyai anak kelainan upaya (OKU).
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana menegaskan banyak kes salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam dan mahkamah wajar menjatuhkan hukuman yang berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan penjawat awam yang lain.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan jika gagal membayar denda dan menetapkan hukuman berkuatkuasa tarikh sabitan hari ini.
BH ONLINE