ALOR SETAR — Ibu bapa kepada Syarafi Abu, 33, yang terlepas hukuman gantung hari ini, akan terus berusaha memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Nur Syuhada Johari, selepas cuba melakukannya sejak sembilan tahun lalu.
Abu Husin, 64, dan isterinya, Robiah Alwi, 62, berkata mereka reda dengan ketentuan yang perlu ditanggung Syarafi akibat perbuatan membunuh gadis itu, namun tetap bersyukur dengan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan hari ini.
Beliau berkata, tidak ada ibu bapa yang sanggup melihat anak dihukum mati dan penukaran kepada hukuman penjara 38 tahun yang dikenakan ke atas Syarafi memberi mereka sedikit kelegaan.
“Kami memang reda, hendak buat macam mana semua Allah tentukan. Dia terlepas hukuman gantung, tetapi penjara 38 tahun memang maksimum, terima kasih juga kepada mahkamah kerana melepaskan dia daripada tali gantung.
“Jika tidak dia memang akan digantung, tetapi selepas kerajaan tukar hukuman, ia beri kami sedikit harapan. Ketika jumpa Syarafi minggu lalu di Penjara Pokok Sena, dia memang takut hukuman dikekalkan, tetapi peguam minta kami sabar dan janji akan bantu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 2015 itu, Syarafi didakwa membunuh Nur Syuhada yang juga pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hotel UiTM Pulai Pinang, di Kilometer 228.2 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Bukit Gantang, Perak, pada jam 11.55 pagi, 2 Februari 2015.
Dalam kejadian itu, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum Nur Syuhada dikelar di leher dan ditinggalkan di lebuh raya sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta.
Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini, menukar hukuman mati ke atas Syarafi kepada penjara 38 tahun dan 14 sebatan mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023.
Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan memerintahkan hukuman penjara ke atas Syarafi berjalan serentak dari tarikh dia ditahan pada 1 Februari 2015.
Abu berkata, selepas ini dia akan terus cuba menemui ibu bapa arwah Nur Syuhada yang dikenali kerana rumah mereka berdekatan sebelum ini di Jitra.
“Saya cuba jumpa keluarga arwah Nur Syuhada sebaik selepas kejadian arwah dibunuh, tetapi rakan pesan jangan jumpa dulu. Niat saya cuma mahu minta maaf, perkara sudah berlaku dan kita tak dapat buat apa-apa, cuma dapat minta maaf saja.
“Insya-Allah biar mereka sejuk dulu, selepas ini saya akan cuba minta maaf lagi. Sejak mereka berpindah ke Alor Setar, saya tidak lagi menemui mereka,” katanya.
BH ONLINE