LAHAD DATU — Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang ketika mandi di Pantai Sinakut, FELDA Sahabat 16, dekat sini, semalam, ditemui pagi tadi, dalam keadaan tidak sempurna disyaki dibaham buaya.

Mayat mangsa berusia sembilan tahun itu ditemui di kawasan pantai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin yang dihubungi berkata mayat kanak-kanak itu ditemui jam 7.45 pagi.

“Mangsa dilaporkan mandi bersama lima lagi rakannya, sebelum tiba-tiba dipercayai dibaham buaya dan diheret ke laut sebelum ia dihanyutkan ke persisir pantai,” katanya ketika dihubungi.

Silvester berkata mengikut laporan awal diterima pihaknya, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarganya datang bercuti di kampung berkenaan.

Katanya, jabatannya masih menjalankan siasatan lanjut kes itu manakala mayat kanak-kanak berkenaan sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

BH ONLINE