
NIBONG TEBAL – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sistem pertahanan dunia telah rosak apabila mengizinkan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza terus berlaku, dengan lebih 330 nyawa dilaporkan terkorban dalam serangan terbaharu, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Israel berterusan menyerang dan melakukan keganasan meskipun dalam tempoh gencatan senjata.
“Sebenarnya, kita (Malaysia) tidak setuju (dengan tindakan Israel)… bunyinya (gencatan senjata) iaitu menghentikan serangan ganas terhadap rakyat termasuk wanita dan kanak- kanak khasnya (tetapi sebaliknya yang berlaku).
“Usaha (pendamaian) daripada rakyat (Palestin) itu ada tetapi pembunuhan (tetap lagi) berterusan.
“Ini maknanya sistem pertahanan dunia sudah rosak (apabila) keganasan itu diizinkan. Sekarang ada usaha perdamaian tetapi pembunuhan (tetap) berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia berhubung serangan terbaharu Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza yang dilaporkan telah mengorbankan lebih 330 nyawa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Anwar ditemui pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa MADANI anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar sekali lagi mengutuk sekeras-kerasya kekejaman terbabit dan bersedia memberikan bantuan kemanusiaan kepada negara itu.
“Kita akan berikan bantuan yang kita mampu dari aspek kebajikan dan kemanusiaan.
“Tapi apa yang sangat kita kesalkan (serangan) berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.
“Tidak ada langsung perikemanusiaan, jadi kita doa mudah-mudahan Allah SWT melindungi keluarga mangsa dan mencucuri rahmat ke atas para syuhada,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 330 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.
Serangan berlaku dalam keadaan sekatan masih dikenakan ke atas Gaza menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk terputus bekalan keperluan asas.
Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan serangan ke atas Hamas, manakala Hamas menuduh Israel memungkiri perjanjian gencatan senjata.
BH ONLINE