KUCHING — Kegembiraan sekumpulan pelajar Sekolah Tinggi Sarikei menyelesaikan kajian di kawasan air terjun Wong Ruan, Ulu Sarikei, hari ini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat Alex Lau Hui Ping ditemui Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok Lemba, Sarikei, jam 12.03 tengah hari tadi.

Katanya, seorang anggota PBS berkenaan, Branddon Lamada menyelam pada kedalaman kira-kira tiga meter di dasar air terjun itu untuk mencari mangsa dan berjaya menemuinya tidak lama selepas itu.

“Selepas dibawa naik, Alex Lau Hui Ping disahkan sudah meninggal. Mayatnya diserahkan kepada polis yang kemudiannya membawanya ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM berkata tiga lagi rakan Alex yang turut berada di lokasi kejadian iaitu Johnson Cheing Heng Wei, 17, Kong Sheing Chuong,18, dan Timothy Lau Bi Sii,18, terselamat.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, empat pelajar berkenaan berada di air terjun berkenaan untuk menjalankan kajian di situ.

“Selepas menjalankan kajian, seorang daripada mereka kemudian terjun untuk mandi namun dia terus tenggelam. Rakannya kemudian melaporkan kejadian itu kepada penduduk rumah panjang berhampiran untuk mendapatkan bantuan pada jam 11.30 pagi,” katanya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM berkata seramai 12 anggota PBS Lubok Lemba bergerak ke lokasi sebaik menerima maklumat itu dan kemudiannya melancarkan gerakan mencari dengan menyelamat dengan menyelam ke dasar sungai.

BH ONLINE

LATEST POSTS