KUALA KUBU BHARU — Keluarga arwah Nur Farah Kartini Abdullah kecewa terlepas mengikuti sebutan pertama kes pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi, susulan terlewat tiba.
Abang kepada arwah Nur Farah, Mohd Farriza Azmi, 28, meluahkan perasaan kecewanya itu ketika ditemui di perkarangan mahkamah.
Beliau tiba bersama lapan lagi ahli keluarga termasuk ibunya, Salmah Abdullah, 57, beberapa minit selepas prosiding berkenaan selesai jam 9.05 pagi.
Bagaimanapun Mohd Farriza tidak menyatakan punca sebenar kelewatan mereka sekeluarga.
Ditanya mengenai kehadiran mereka pada hari ini, Mohd Farriza berkata selain mengikuti prosiding mahkamah, mereka mahu melihat wajah tertuduh.
“Kami nak tengok dia, tak sangka hari ni terlepas kerena lewat, mungkin ketika dibawa keluar (mahkamah) nanti kami boleh lihat wajahnya,” katanya.
Dalam pada itu, Salmah yang datang dari Miri, Sarawak ketika ditemui berkata dia sampai di sini, jam 1 pagi tadi bersama sepupu arwah.
Beliau juga mengesahkan semakin pulih dan bersemangat susulan kejadian menimpa anak perempuannya itu pada bulan lalu.
“Alhamdulillah sudah boleh makan dan tidur sikit-sikit, perlahan-lahan untuk kembali seperti dulu agak lama,” katanya.
Sebelum itu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Majistret Nurul Izzah Hassan Basri membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che’ Wan memaklumkan mahkamah laporan kimia masih belum diperolehi.
Pada 26 Julai lalu, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26 didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lalu.
Sementara itu, peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili Muhammad Alif berkata pihaknya menasihati keluarga tertuduh untuk tidak hadir ke mahkamah hari ini.
“Mereka tinggal jauh, dan jika hadir pun mereka tidak dibenar bertemu dengan Muhammad Alif. Jadi saya nasihatkan mereka supaya tidak perlu hadir,” katanya ketika ditemui di sini.
BH ONLINE