SUNGAI BESAR — Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini memberi kesan besar kepada warga pendidik, khususnya dari segi motivasi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pelarasan itu, sekali gus memberi impak positif dan boleh dijadikan sebagai ‘benchmark’ dalam usaha memastikan pendidikan menjadi agenda utama di negara ini.

“Saya yakin inilah masanya dengan suntikan semangat berdasarkan kenaikan gaji.

“Kementerian Pendidikan (KPM) sebenarnya menerima banyak permohonan (guru) bersara awal tetapi tidak jadi bersara selepas kenaikan gaji.

“Jadi, kita sedang pertimbangkan sama ada ia akan memberi kesan kepada keseluruhan pendidikan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bangunan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Zahrul Hakim Abdullah.

Pada majlis sama, Fadhlina menyaksikan penyerahan projek pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Dorani.

Fadhlina berkata, mana-mana guru yang berhasrat untuk menarik semula permohonan bersara tertakluk kepada peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Mesti ada prosesnya yang sedang KPM pertimbangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum membuat persiapan di semua sekolah seluruh negara berhubung penyakit cacar monyet.

Katanya, ketika ini apa juga isu berkait rapat dengan kesihatan, ancaman virus atau wabak, KPM berpandukan kepada nasihat dan garis panduan daripada KKM.

“Dalam konteks ini kita akan mendapatkan pedoman penuh dan sebarang tindakan akan dimaklumkan KKM dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, KKM mengesahkan tiada kes baharu membabitkan mpox atau cacar monyet di Malaysia setakat ini, biarpun berlaku peningkatan jangkitan di rantau Afrika, baru-baru ini.

BH ONLINE

LATEST POSTS