GUA MUSANG — Seorang pekerja ladang maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah pikap, dipercayai akibat mahu mengelak lubang dan laluan mendap di Jalan Felda Aring 5, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, Muhamad Khairul Nidzan Che Soh, 30, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Klinik Kesihatan Aring 1.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Paloh 1 ke tempat kerja.
Setiba di lokasi, beliau berkata, motosikal mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika mengelak lubang dan jalan mendap di laluan sahnya.
BH ONLINE