TUMPAT — Suasana Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tumpat di sini gamat apabila ribuan anak muda yang mengenakan sarung tiba-tiba turun dari tren sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Kehadiran kumpulan itu yang kemudian berarak sejauh kira-kira 100 meter menarik perhatian orang ramai, seolah-olah mengembalikan semula nostalgia zaman silam.

Selain berkain sarung, rata-rata mereka dilihat turut mengenakan bersemutar, berbaju kurung Kedah dan berselempang demi memenuhi syarat ditetapkan untuk menyertai program Keretapi Sarong Kelate 2024 anjuran Kotak Seni dan Persatuan Kreatif Kelantan, hari ini.

Menariknya, ada peserta bersengkang mata menaiki kereta api bermula dari Gua Musang dan Kuala Krai, sebelum ke Tanah Merah, Pasir Mas dengan stesen Wakaf Bharu sebagai ‘check point’ terakhir sebelum sampai ke destinasi dituju iaitu Tumpat.

Pengurus Kotak Seni, Nur Asriniey Asaruddin berkata lebih 3,000 menyertai program itu yang melebihi sasaran awal kira-kira 1,500 orang.

“Kami membuat hebahan sejak beberapa minggu lalu melalui media sosial dan ramai menunjukkan minat untuk menyertai.

“Kami menyediakan 100 tiket kereta api percuma iaitu perjalanan dari Stesen Wakaf Bharu ke Tumpat dan untuk stesen lain kami dimaklumkan turut licin dibeli,” katanya ketika dihubungi.

Nur Asriniey berkata, sepanjang perjalanan menuju Stesen Tumpat, peserta dihiburkan dengan deklamasi puisi, persembahan nyanyian dan akustik serta dikir barat.

Sebaik tiba di Stesen Tumpat jam 10.40 pagi tadi, semua peserta berarak sambil mengibarkan Jalur Gemilang menuju taman awam di Padang Kemahkotaan atau dikenali sebagai Pantai Ndo iaitu lokasi berlangsungnya program Pasar Cik Siti yang juga anjuran Kotak Seni.

Menurutnya lagi, penganjuran Keretapi Sarong Kelate 2024 bersempena Hari Malaysia dan mereka memilih tema kain sarung kerana pakaian tradisional itu dipakai di semua negeri dalam Malaysia.

“Ini tahun kedua kami meraikan sambutan Hari Malaysia dengan cara tersendiri yang mana tahun lalu hanyalah perarakan biasa dan disertai lebih 800 peserta sahaja,” katanya.

BH ONLINE

LATEST POSTS