Kes amang seksual: Remaja dipercayai adalah peminat selebriti itu – Polis

SHAH ALAM – Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan menjadi mangsa kes amang seksual didakwa membabitkan seorang pelakon dan penyanyi terkenal, dipercayai adalah peminat selebriti itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata hasil siasatan awal mendapati remaja dan selebriti itu dipercayai berkenalan selepas bertemu di beberapa tempat.

“Kita percaya remaja itu memang peminat (kepada selebriti berkenaan).

“Daripada perjumpaan di beberapa venue, (dipercayai) itu yang mereka boleh kenal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, polis masih menunggu maklum balas daripada Pejabat Pendakwa Raya berhubung kes dakwaan amang seksual itu.

Beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kes itu, baru-baru ini, selepas siasatan dilengkapkan susulan laporan polis dibuat oleh ibu remaja terbabit.

“Sudah rujuk (kertas siasatan kes itu) kepada Timbalan Pendakwa Raya… kita sedang menunggu keputusan (untuk tindakan lanjut),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Sebelum ini, media melaporkan artis lelaki itu ditahan pada 3 Jun lalu kerana disyaki melakukan amang seksual ke atas remaja terbabit di sebuah hotel di Selangor.

Selebriti itu didakwa kali pertama membawa remaja berkenaan yang juga seorang pelajar, ke hotel selepas mereka dikatakan berkenalan sejak kira-kira dua bulan lalu.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

BH ONLINE