KUALA LUMPUR — Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang pereka dalaman yang ditemui mati dengan 20 kes tikaman di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 50 hingga 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi tadi dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Polis Kontinjen Selangor.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly, berkata buat masa ini pihaknya percaya salah seorang daripada suspek yang ditahan adalah pelaku yang membunuh mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Semua suspek tiada pertalian dan mereka tinggal serumah. Semakan mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai rekod lampau iaitu sembilan rekod jenayah dan 14 rekod dadah.
“Kita percaya salah seorang suspek memecah masuk pada hari kejadian ketika mangsa tiada di rumah.
“Bagaimanapun tidak lama kemudian mangsa balik dan menyedari kediamannya dipecah masuk sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
M Hussin Sollehuddin berkata Majistret di Mahkamah Petaling Jaya, hari ini membenarkan ketiga-tiga suspek direman enam hari hingga 26 September ini dan siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek ini, pihak polis percaya salah seorangnya adalah pelaku jenayah terbabit dan dapat menyelesaikan kes bunuh ini.
“Kertas siasatan dalam tindakan dilengkapkan dengan kadar segera sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor bagi mendapat pandangan dan arahan selanjutnya,” katanya.
Pada Isnin lalu, BH melaporkan seorang pereka dalaman ditemukan mati dalam keadaan tragis dengan 20 kesan tikaman ditemui pada tubuhnya di sebuah apartmen di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya dekat sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dilaporkan berkata pihaknya menerima satu laporan berkait kejadian itu pada jam 1 pagi daripada seorang orang awam yang juga jiran mangsa.
Katanya, jiran mangsa menghubungi polis selepas risau perkara buruk berlaku kepada mangsa setelah mendengar suara pergaduhan antara mangsa dan seorang individu, kira-kira jam 11 malam.
“Pengadu memaklumkan tidak melihat jirannya itu keluar dari rumah selepas pergaduhan dan menghubungi pihak polis.
“Sepasukan anggota polis dari IPD Petaling Jaya ke lokasi dan hasil pemeriksaan, menemukan mangsa sudah meninggal dunia akibat ditikam,” katanya.
Shahrulnizam berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
Hasil pemeriksaan awal, polis menganggarkan terdapat 20 kesan tikaman di beberapa bahagian tubuh mangsa dengan lima kesan tikaman ditemukan pada rusuk kiri yang dipercayai menyebabkan kematiannya.
“Enam lagi tikaman ditemui pada bahagian kepala dan sembilan tikaman pada kedua-dua pergelangan tangan,” katanya.
Semakan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman separuh masa tinggal berseorangan di rumah berkenaan yang baharu dibelinya pada tahun lalu.
“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati barangan berharga milik mangsa seperti beg duit, telefon bimbit tiada, dipercayai dicuri.
“Kita tidak menolak kemungkinan kes ini berpunca daripada pecah rumah bertukar kepada kejadian samun dan menyebabkan kematian,” katanya.
BH ONLINE