GEORGETOWN – Anggota polis yang cedera parah selepas tertembak diri sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini semalam, dilaporkan masih kritikal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata mangsa berusia 58 tahun itu kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
“Mangsa belum sedarkan diri dan masih kritikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengenai dakwaan mangsa mengalami kemurungan dan mempunyai masalah berkaitan hutang, Swee Sake berkata, siasatan masih dilakukan.
“Kita dalam proses merakam keterangan keluarga mangsa yang kini dalam perjalanan dari Kuala Lumpur bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, seorang koperal polis yang bertugas di cawangan Kem Komandan itu, ditemukan cedera di kepala di bilik pengawal pada jam 6.12 petang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, dilaporkan berkata, anggota berkenaan cedera parah di kepala akibat tertembak diri sendiri dengan sepucuk pistol.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39, Akta Senjata 1960.
BH ONLINE