Kerajaan Fiji pada Khamis berkata polis sedang menyiasat insiden melibatkan dua kru syarikat penerbangan Australia Virgin Australia yang didakwa menjadi mangsa rogol dan kecurian di Nadi pada awal pagi Hari Tahun Baru.

Kru terbabit berada di destinasi pelancongan popular itu dalam persinggahan sebelum mereka sepatutnya terbang keesokan harinya, kata Pemangku Pesuruhjaya Polis Fiji Juki Fong Chew dalam satu kenyataan.

Virgin, yang berkata ia mengamibil maklum kejadian didakwa, telah menghantar orang ke Fiji untuk memberikan sokongan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Polis Fiji berkata, siasatan setakat ini mendapati sesetengah kru Virgin ke kelab malam di Nadi.

“Malangnya, dua daripada kru terbabit menjadi mangsa kecurian dan rogol yang didakwa selepas keluar dari kelab malam itu cuba mencari jalan pulang ke hotel,” kata Chew.

Viliame Gavoka, timbalan perdana menteri Fiji dan menteri pelancongan dan penerbangan awam, dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa ini adalah dua insiden berasingan dakwaan kecurian dan serangan seksual yang menjejaskan dua kru Virgin yang berbeza.

Gavoka melahirkan rasa kesal atas dakwaan kejadian itu dan berkata seorang suspek yang dikenali polis atas dakwaan serangan seksual itu telah disoal siasat dan siasatan sedang dijalankan.

Negara pulau Pasifik Selatan Fiji merupakan destinasi pelancongan popular dan menerima 76,845 pelawat pada November, kebanyakannya dari Australia, New Zealand dan Amerika Utara, menurut laman web pelancongan negara itu.

Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia memberitahu Reuters ia mengetahui laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

REUTERS