TELUK INTAN — Seorang pekerja kantin sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar perempuan, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Zulhakimi Husaini Zulkifli, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dengan cara meraba dan memegang buah dada mangsa di simpang tiga Jalan Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 10 November lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal, manakala tertuduh diwakili peguam Faustina Francis.
Norhamizah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 23 Disember depan.
Sementara itu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya dengan cara menyalahi undang-undang.
Perbuatan itu dilakukannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, pada jam 10.20 malam, 12 November lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pendakwaan itu dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang memperuntukkan tertuduh menjalani pengawasan antara dua hingga lima tahun.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad, manakala tertuduh diwakili peguam, S Kumaresan.
Naidatul Athirah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 21 Januari tahun depan untuk serahan laporan patologi.
BH ONLINE