TOKYO – Seramai 76,020 orang mati bersendirian di rumah mereka di Jepun pada 2024, dengan 76.4 peratus berumur 65 tahun ke atas, menurut data dikeluarkan Agensi Polis Nasional pada Jumaat.
Mengikut kumpulan umur, bilangan kematian bersendirian di rumah tertinggi berlaku dalam kalangan mereka berumur 85 tahun ke atas (14,658), diikuti oleh mereka berumur 75-79 (12,567), dan mereka berumur 70-74 (11,600).
Dalam kalangan individu warga emas yang ditemui mati di rumah, 39.2 peratus ditemui dalam tempoh sehari selepas kematian. Bagaimanapun, 4,538 kes (7.8 peratus) melibatkan mayat yang tidak ditemui selama lebih sebulan.
Pegawai polis menyatakan banyak kes seperti itu dikenal pasti selepas laporan mel yang tidak dikutip atau apabila jiran atau saudara-mara, yang kurang berhubung secara tetap, menimbulkan kebimbangan.
Mengikut wilayah, Tokyo mencatatkan jumlah kematian bersendirian di rumah tertinggi (7,699), diikuti Osaka (5,329), Kanagawa (3,659), dan Aichi (3,411).
Ini menandakan kali pertama data sedemikian disusun di Jepun. Kerajaan bercadang untuk menggunakannya sebagai asas pembangunan dasar bagi menangani kesunyian dan pengasingan sosial.
Jepun telah bergelut dengan isu “kodokushi” atau “kematian kesepian” selama beberapa dekad. Istilah ini merujuk kepada orang, selalunya orang tua, yang mati bersendirian dan tidak disedari untuk tempoh yang lama.
Fenomena ini mula mendapat perhatian umum pada 1980-an dan sejak itu menjadi kebimbangan yang semakin meningkat di tengah-tengah populasi Jepun yang semakin tua, saiz isi rumah yang semakin mengecil dan hubungan sosial yang semakin lemah.
XINHUA