MELAKA — Seorang lelaki warga Bangladesh maut terkena renjatan elektrik sewaktu memotong rumput di Taman Perkota Bukit Baru, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi dengan mangsa, Habib Ullah, 39, ditemui maut di bahu jalan berhadapan deretan rumah teres Taman Perkota, manakala mesin rumput ditemukan di sisinya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal di lokasi mengesan satu kabel elektrik pada tanah dengan keadaan berurai di sebelah mangsa.

“Kematian mangsa disahkan oleh pihak perubatan dan pemeriksaan serta pemerhatian fizikal dan sekitar lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur perbuatan jenayah,” katanya kepada media hari ini.

Christopher berkata, saksi memaklumkan sebelum kejadian terdapat lima pekerja memotong rumput bersama mangsa dan lelaki itu dikatakan cuba mengalihkan kabel dari tanah yang mengganggu kerja pemotongan rumput.

“Semasa memegang kabel, badan mangsa tiba-tiba mengalami renjatan elektrik dan saksi bersama rakan membantu menggunakan kayu untuk menjauhkannya daripada wayar elektrik,” katanya.

Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

BH ONLINE

LATEST POSTS