BINTULU — Seorang lelaki maut selepas ditembak individu tidak dikenali di tingkat empat kawasan letak kenderaan sebuah hotel di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan hotel terbabit berhubung insiden yang berlaku jam 11.48 malam itu.

“Mangsa didapati terbaring di hadapan pintu masuk lif dalam keadaan berdarah dipercayai ditembak,” katanya.

Maklumat awal yang diterima, katanya, mengesahkan mangsa dikenali sebagai Ling Deng Sing, 36, berasal dari Sibu.

Pemeriksaan yang dijalankan ke tubuh mangsa yang ditemui dalam keadaan mengiring mendapati terdapat kesan tembakan dan pendarahan pada bahagian dada.

Turut ditemui berhampiran mangsa ialah lima kelongsong peluru jenis 45 PMC dan dua kelongsong peluru dipercayai dari senjata api shotgun jenis M Clever 12 Mirage, termasuk telefon bimbit milik mangsa.

Bertindak atas maklumat serta risikan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menahan dua individu dipercayai suspek utama yang sedang bergerak menggunakan kenderaan di kawasan Miri pada jam 2.35 pagi.

Kedua-dua suspek berusia 36 dan 43 tahun dengan seorang daripadanya warga Brunei.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan dinaiki kedua-dua suspek turut menemui satu kotak mengandungi 50 Rimfire Cartridges yang disimpan di ruangan tengah bersebelahan pemandu, topi berwarna hitam dan satu topi berwarna coklat yang dijumpai di tempat duduk belakang termasuk dua unit telefon bimbit milik suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BH ONLINE