GERIK — Lelaki yang dipercayai menolak isterinya ke gaung dekat Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, di sini, pada 27 Julai lalu, ditahan reman seminggu.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh, ketika suspek berusia 39 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik, di sini hari ini.

Reman selama tujuh hari itu dibenarkan bagi membantu siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu kerana cubaan membunuh.

Suspek ditahan reman polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di Kedah, selama enam hari bersangkutan kes mendatangkan cedera mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu tiba ke mahkamah hari ini jam 8.50 pagi kemudiannya dibawa keluar 50 minit kemudian.

Suspek cuba membunuh isterinya yang berusia 32 tahun dengan menolak mangsa ke gaung tetapi kemudian mangsa merangkak naik ke jalan raya dan ditemui orang awam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood sebelum ini dilapor berkata, suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil; dan Kanun Keseksaan.

BH ONLINE

LATEST POSTS